SEBELAS penyanyi popular tanah air bergabung dalam program amal Sing For Fund bagi membantu golongan yang terkesan ekoran penularan wabak Covid-19 dan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan.

Mereka terdiri daripada Liza Hanim, Aishah, Siti Nordiana, Ernie Zakri, Syamel, Haiza, Idayu, Lan Solo, Han Byul, Kai dan Dini.

Program anjuran Liza Hanim menerusi syarikatnya, LS Media dengan kerjasama Live Frame hanya memerlukan sumbangan serendah RM5 daripada mereka yang menonton persembahan itu di www.liveframe.my yang bermula sejak semalam sehingga 7 Mei ini.

“Inisiatif ini timbul apabila saya, suami dan rakan di Live Frame berborak di aplikasi Zoom. Kami terfikir apa perkara yang boleh dibuat bagi membantu golongan memerlukan sepanjang PKP ini. Nak sumbang duit dalam amaun yang banyak kami pun tidak semampu begitu.

“Jadi saya cuba gunakan kelebihan yang ada dengan mengadakan program. Memandangkan

sekarang tak boleh buat apa-apa termasuk selepas PKP ini pun tak boleh buat konsert atau perjumpaan besar, apa boleh dibuat adalah berhibur sambil beramal. Jadi kami wujudkan website khas.

“Setiap penyanyi rakam sendiri persembahan di rumah dengan menyanyikan dua lagu.

Orang ramai boleh menyumbang sekali gus dapat berhibur dengan kami dengan syarat sumbangan RM5 dan boleh tengok semua persembahan kami. RM5 adalah jumlah minimun, tapi boleh menyumbang lebih dari itu. Terpulang kepada kemampuan. Cara dan maklumat sumbangan itu ada pada laman web itu,” katanya kepada Harian Metro.

Liza yang baru muncul dengan single Tiada berkata, pihaknya menyasarkan seberapa banyak dana supaya dapat diagihkab kepada golongan sasaran.

Malah, Liza berkongsi pembabitan kesemua artis adalah tanpa bayaran atau saguhati.

“Ini adalah inisiatif dan sumbangan kecil kami. Sumbangan terbesar daripada anda yang menonton persembahan kami. Saya berharap apa yang kami buat ini dapat memberi peluang kepada orang lain untuk menjalani kehidupan mereka.

“Kami menyasarkan hasil sumbangan ini nanti diberikan kepada golongan tertentu. Kami juga bekerjasama dengan badan kebajikan dalam menyalurkan dana ini. Tapi, pengkhususan kepada golongan yang terkesan sepanjang Covid-19, PKP dan pendapatan terjejas termasuk juga asnaf dan fakir miskin.

“Saya nak berterima kasih kepada semua rakan artis terbabit kerana sudi bekerjasama dan membantu tanpa sebarang bayaran atau token. Mereka sangat berbesar hati nak menyanyi dua lagu,” katanya.

Menurut Liza, pihaknya akan mengemaskini jumlah dana diterima dari semasa ke semasa dan bila sumbangan akan diberikan.

“InsyaAllah, selepas dapat mengumpul semua dana kami cuba untuk pergi sendiri berikan sumbangan. Kalau tidak dibenarkan, kami akan salurkan terus saja kepada mereka.

“Kami akan kongsikan di laman sosial penerima daripada sumbangan anda. Jadi, saya berharap sangat peminat dan masyarakat boleh turut serta menjayakan program ini sekali gus dapat beramal,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan

  • Lagi berita berkaitan Covid-19