DIKECAM teruk warganet kerana isu membabitkan bantuan artis serta tuntutan yang disifatkan melampau terhadap kerajaan untuk penggiat seni, langsung tidak melemahkan semangat Persatuan Seniman Malaysia (Seniman) untuk berbakti kepada masyarakat.

Selain terus membantu penggiat seni menerusi sumbangan barangan keperluan dapur, Seniman juga tidak ketinggalan menyumbang peralatan perlindungan diri (PPE) kepada Angkatan Pertahanan Awam (APM).

Bertempat di ibu pejabat APM di Jalan Maktab Sungai Merab, Kajang, mereka bersama beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) berganding bahu menyumbang PPE kepada petugas barisan hadapan APM dan artis dari Briged Kesenian APM bagi mencegah Covid-19.

Sumbangan disampaikan Exco Agama dan Muafakat Seniman, Salman al-Farisi yang turut disertai dua ahli lain iaitu pelakon filem dan drama berbahasa Cina, Louis Tan dan Eva Khoo.

“Seniman turut bekerjasama dengan Dr Janson Ang dari The Giving Bank Organisation dalam sumbangan terbabit baru-baru ini.

“Barangan ini berupa topeng muka sebanyak 1,500 keping, perisai muka 100 unit, air mineral 100 karton dan cecair peluntur 100 botol. Semua sumbangan ini disampaikan terus kepada Ketua Pesuruhjaya APM, Datuk Roslan Wahab,” katanya.

SALMAN (dua dari kiri) bersama Louis Tan (dua dari kanan) dan Eva (kanan) selepas menyampaikan sumbangan kepada APM.
SALMAN (dua dari kiri) bersama Louis Tan (dua dari kanan) dan Eva (kanan) selepas menyampaikan sumbangan kepada APM.

Salman yang juga anggota APM di bawah Briged Kesenian berharap sumbangan ini dapat dimanfaatkan APM bagi memastikan keselamatan anggotanya ketika bertugas pada situasi pandemik Covid-19.

Sementara itu, Roslan berterima kasih terhadap keprihatinan Seniman dan beberapa NGO lain yang menghulurkan sumbangan PPE buat mereka.

“Ia satu sumbangan yang amat bermakna buat APM. Perdana menteri sendiri meletakkan APM sebagai penanda aras semangat kesukarelaan negara. Pengiktirafan ini amat besar maknanya dan menjadi cabaran yang besar untuk bersama menangani isu peringkat dunia sekarang iaitu Covid-19.

“APM adalah barisan hadapan dalam perkhidmatan bencana yang memperlihatkan kami sentiasa berada di mana-mana dalam semua situasi bencana,” katanya.

Menurutnya, tahap kemahiran warga APM dan Briged Kesenian APM (penyertaan golongan artis sebagai anggota dan sukarelawan) yang semakin menyerlah membuatkan khidmat nasihat mereka sering ditagih oleh agensi lain.