PRESIDEN Persatuan Sutradara Malaysia (FDAM), Ahmad Ibrahim menyeru agar segelintir artis dan netizen yang kini ‘berperang’ supaya bertenang dan tidak bergaduh sesama sendiri.

Beliau yang lebih dikenali sebagai Mat London berkata, konflik yang berlaku ibarat satu perselisihan faham dalam keluarga yang boleh dijernihkan semula.

“Ini satu pergaduhan keluarga. Siapalah artis tanpa netizen atau peminat? Begitu juga netizen tanpa artis pasti rasa janggal. Kalau netizen kata mereka boleh tengok filem Korea atau Jepun, itu bukan gambaran suara hati mereka.

“Itu adalah suara kerana emosi dan perasaan marah. Sebagai rakyat Malaysia, kita semua tetap bangga dengan artis tempata. Artis dan netizen saling memerlukan dan ada persamaan dalam pelbagai aspek. Kalau kita sedang berduka, kita akan terhibur melihat drama-drama Melayu, melihat lakonan artis kita,” katanya kepada Harian Metro.

Menurutnya, seringkali artis akan merasa bangga dan berterima kasih dengan kehadiran netizen (peminat) apabila mengadakan persembahan di khalayak ramai dan hubungan ini perlu diteruskan.

“Kita sama-sama menyokong. Janganlah wujudkan sempadan antara artis dan peminat. Perkara ini berlaku hanya kerana salah tafsir.

“Tak dinafikan, memang ada seorang, dua artis yang mewah dan suka tunjukkan kekayaan mereka. Ada juga yang mewah, tapi lebih suka ‘low profil’. Cuma artis-artis ini bertanya hak mereka. Kalau mereka dapat pun apa salahnya kerana mereka juga rakyat Malaysia. Semuanya terserah kepada kerajaan untuk tentukannya. Asasnya konflik ini terjadi kerana tersalah tafsir,” katanya.

Menurutnya, Tomok dan rakan-rakannya dengan ikhlas hati sudah memohon maaf dan perkara ini tidak wajar dipanjangkan lagi.

“Bagi pihak FDAM, saya ingin mengajak semua pihak untuk mengeratkan silatulrahim. Kukuhkanlah ukhwah kita.

Ramadan hampir tiba, marilah kita mencuci mata, mencuci telinga, mencuci mulut dan mencuci hati

“Kurangkan dosa dan perbanyakkan pahala. Kita kongsi persamaan. Covid-19 menguji ketabahan kita, mari kita harmonikan jiwa. Kita manusia biasa tak bisa lari dari aturan dan kehendak Allah,” katanya.