WALAUPUN kini berusia 25 tahun dan mungkin kebanyakan wanita seusianya sudah berumah tangga, penyanyi Sarah Fazny pula belum terfikir mahu bercinta.

Sarah atau nama sebenarnya Maishara Fazny Mahadzir berkata, dia mahu berbakti kepada keluarga terlebih dahulu kerana ramai adik masih bersekolah.

“Saya mempunyai 15 adik-beradik. Jadi, saya perlu membantu meringankan beban dan tanggungjawab ibu bapa untuk membesarkan kami semua. Apatah lagi, saya datang dari latar belakang keluarga sederhana. Sekarang adalah masa untuk saya utamakan keluarga berbanding mahu bercinta dan seterusnya berumah tangga.

“Lagipun kerjaya nyanyian saya pun baru nak stabil. Fokus pada kerjaya dan memantapkan bakat sebagai penyanyi perlu diberi perhatian,” katanya.

Sarah yang kini bernaung dengan Broadway NuMusic baru muncul dengan lagu solo baru berjudul Mantankan Saja dalam genre pop dangdut.

Pernah yang menyertai pertandingan D’ Academy Asia musim keempat (DAA4) di Jakarta, Indonesia pada 2018 lalu ini juga mengakui dia ada terkait dengan gosip cinta.

Sarah pernah dikaitkan bercinta dengan peserta dari Indonesia dikenali Ridzuan.

Bercerita mengenainya, wanita genit ini berkata, pada mulanya dia melihat ia sekadar gosip biasa.

“Saya tidak pernah terfikir langsung soal cinta ketika bersaing di DAA4 itu kerana mahu mengejar impian yang diidamkan. Saya mahu meraih kejayaan.

“Malah, saya pun tidak selesa dengan gosip cinta itu. Namun, saya akur kerana itu barangkali satu daripada strategi untuk menarik perhatian penonton dan menghangatkan program itu.

“Ridzuan pun faham situasi kami dan hubungan dengannya selama saya di DAA4 itu berjalan baik. Kami terus bersahabat walaupun pertandingan sudah berakhir,” katanya.

Ditanya kenapa tidak memilih untuk membina kerjaya nyanyiannya di Indonesia seperti ditempa Baby Shima, kata Sarah, dia tidak sedia berjauhan dengan keluarga tersayang.

“Saya lebih rasa selesa dan selamat apabila tinggal bersama keluarga yang berada di Malaysia. Jadi, lebih baik saya terus cuba bina kerjaya seni di tanah air sendiri saja.

“Walaupun tidak mudah untuk ketengahkan bakat di sini, saya belum mahu putus asa mencuba. Saya fikir, laluan untuk saya berjaya mungkin agak berliku. Tapi, tak apalah selagi ada peluang. Saya percaya jangan berasa gentar kerama jika mahukan kejayaan memang perlukan usaha yang berlipat ganda,” katanya.

Mengenai lagu Mantankan Saja, karya itu hasil ciptaan komposer dari Indonesia dikenali Faishal Rizal dan lirik ditulis Sarah dengan bantuan Faishal.