PELAKON Ben Amir yang turut menjalani penggambaran drama Demi di Inverness, Scotland arahan Rahila Ali awal Mac lalu disahkan negatif Covid-19.

Ben ketika dihubungi berkata, dia pulang beberapa hari lebih awal pada 27 Mac lalu berbanding semua kru dan pelakon yang pulang ke tanah air pada 31 Mac lalu. 

“Sekembali di sini, saya melakukan kuarantin diri di rumah. Saya kemudian membuat pemeriksaan di sebuah pusat perubatan di Damansara dan keesokannya saya disahkan negatif wabak itu.

“Alhamdulillah setakat ini keadaan saya baik-baik saja. Tiada sebarang gejala dijangkiti wabak ini selepas pulang ke tanah air beberapa hari lebih awal pada  27 Mac lalu,” katanya. 

Terdahulu, pengarah drama itu, Rahila Ali dan salah seorang pelakon drama itu, Puteri Aishah disahkan positif Covid-19 selepas pulang dari Scotland pada 31 Mac lalu. Turut positif salah-seorang kru penggambaran drama itu.

Menurut Ben, dia bersimpati dengan Puteri Aishah, Rahila dan kru terbabit. Ben juga memohon maaf kerana tidak dapat berkongsi lebih lanjut mengenai kru lain yang turut positif wabak itu.

“Perkara ini sangat sensitif untuk saya kongsikan kerana bimbang timbul spekulasi tidak betul. Apapun doakan semoga kita kuat menghadapi ujian ini dan dijauhkan daripada wabak ini,” katanya.

Selain Ben dan Puteri, antara pelakon lain yang menyertai rombongan itu ialah Ashraf Muslim, Hasnul Rahmat dan Puteri Rayyana Rayqa.

Drama Demi adalah diadaptasi daripada novel yang diterbitkan 26 episod bagi siaran RTM.