PELAKON Yatt Hamzah berterima kasih kepada warganet terutama pengikutnya di Instagram yang berkongsi tips dan nasihat dalam memastikan keselamatan anaknya yang berusia tiga bulan, Suci Hawa Zulaikha yang terjatuh untuk kali ketiga, kelmarin.

Yatt ketika dihubungi berkata, tujuannya berkongsi gambar dan penjelasan mengenai insiden yang menimpa anaknya itu adalah untuk dijadikan iktibar buat semua ibu bapa yang memilik anak kecil.

“Saya harap semua berhati-hati dalam memastikan keselamatan anak terjamin. Kejadian anak saya terjatuh disedari selepas solat Subuh. Ketika itu saya baring sebentar bersamanya di katil dan terlelap. Dalam sekelip mata, tiba-tiba saya terdengar bunyi tangisannya dan dia sudah terjatuh,” katanya kepada Harian Metro.

Sebelum ini, Yatt pernah berkongsi mengenai Suci Hawa yang sudah dua kali terjatuh.

Menurutnya, sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), dia sekeluarga semuanya tidur di atas lantai bagi memastikan keselamatan anak-anaknya.

“Sejak PKP, kami sekeluarga memang tidur di bawah beralaskan tilam. Tapi, nak dijadikan cerita, ada juga insiden tak dijangka berlaku.

“Ada juga yang menulis kecaman terhadap saya di Instagram. Tapi, saya pandang dari sudut positif dan menerima pelbagai komen nasihat serta tip supaya saya membeli pagar katil untuk bayi saya,” katanya.

Selain itu, Yatt juga akan memulakan sesi secara langsung di Instagramnya untuk mengajak pengikutnya di platform media sosial itu untuk bersama-sama membaca Al-Quran.

“Insya-Allah, malam ini saya akan mulakan sesi mengaji Al-Quran bersama-sama imam dari Kuwait yang juga imam solat Tarawih di Masjid Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Sheikh Mohamed Elmongy.

“Insya-Allah, saya nak ajak semua pengikut saya untuk sama-sama mengaji dan khatam Al-Quran sepanjang bulan Ramadan ini. Jadi, setiap hari, saya akan bersiaran langsung dan menghabiskan satu juzuk Al-Quran,” katanya.

Yatt akan bersiaran secara langsung bermula jam 9.30 malam pada setiap malam, sejurus selepas selesai menunaikan solat Tarawih di rumah bersama keluarganya.

 

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan