BINTANG filem, Rosamund Pike yang kini mencuri tumpuan menerusi filem I Care a Lot mengimbau kenangan mengenai gambar badannya yang disunting untuk poster filemJohnny English Reborn yang dibintangi pada 2011.

Dia berkata demikian ketika muncul sebagai tetamu jemputan secara virtual dalam program The Kelly Clarkson Show.

“Dalam poster itu, saiz payudara saya dibesarkan. Kalau dilihat semula poster untuk karakter itu, saya seperti memiliki dada yang menawan walaupun sebenarnya, tidak,” katanya. 

Tidak hanya dalam poster Johnny English Reborn, warna matanya juga pernah ditukar ketika menjayakan karakter sebagai Marie Curie dalam filem Radioactive.

“Bukan sekali dua, tapi berkali-kali. Bila saya lihat atau tonton, saya akan perasan, ‘Oh, mata saya berwarna coklat’, ‘Besarnya buah dada saya,’.

“Rasanya, banyak kali juga saya sendiri tak perasan kalau gambar saya disunting. Kadang-kadang, saya rasa kita tak perasan sebab saya sendiri pun dah tak berapa ingat bentuk sebenar diri,” katanya. 

Selain filem I Care a Lot yang kini ditayangkan di Netflix, Rosamund Pike juga pernah membintangi beberapa filem hebat antaranya Gone Girl yang melayakkan namanya tercalon dalam Anugerah Oscar.