Meskipun misi menghulur sumbangan RM50,000 dibuat pelawak, Man Raja Lawak sudah selesai sepenuhnya pada awal April lalu, namun hingga kini masih lagi ramai yang menagih bantuannya.

Man atau nama sebenar Abd Rahman Kasim berkata sampai sekarang dia masih menerima mesej peribadi (DM) di Instagram termasuk WhatsApp daripada orang ramai.

“Walaupun saya memaklumkan misi sumbangan RM50,000 itu sudah habis dibuat dari 28 Mac hingga 2 April lalu, namun masih ramai yang menghantar mesej meminta bantuan kewangan.

“Kebanyakan mereka (pengirim mesej) sanggup mendesak supaya saya membantu dan paling tak disangka ada yang minta jumlah wang sebanyak RM5,000.

“Ada juga minta saya bantu kewangan mereka untuk membeli barangan keperluan peribadi seperti komputer riba, telefon dan bermacam-macam lagi,” katanya.

Menurut Man, dia sedar pada masa sekarang yang mana seluruh negara masih dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), ramai orang berhadapan masalah terjejas pendapatan.

“Saya dah tolong setakat ternampu dengan jumlah wang yang di sumbangkan itu. Jika tidak dipilih menerimanya, harap faham kerana ia bukan rezeki anda.

“Kena yakin bahawa setiap rezeki Allah itu tidak pernah salah alamat. Bagi pihak saya untuk membantu mereka yang terjejas kerana penularan pandemik Covid-19 ketika ini, tanggungjawab sudah dilaksanakan

“Sekarang, saya perlu beri tumpuan membantu pihak lain terutama mereka yang memerlukan di sekeliling kawasan tempat saya tinggal,” katanya.

Mengulas juga apakah dia trauma dengan ganguan banyak mesej diterima, Man berkata setakat ini dia sudah membalas dengan memberi penjelasan sebaik mungkin.

“Kalau tak faham-faham juga, saya tak boleh nak kata apa. Misi sumbangan yang saya buat itu sudah habis disalurkan pada penerima terpilih dalam tempoh empat hari.

“Dianggarkan kira-kira 70 individu dan keluarga mendapat bantuan itu termasuk saya juga menolong beberapa persatuan dan rakan artis pada kalangan pelawak,” katanya.

Terdahulu, Man menerusi status di Instagram mengumumkan dia mahu menyumbang sebahagian RM50,000 daripada wang kemenangan melalui program Maharaja Lawak Mega 2019 (MLM 2019) kepada individu kurang berkemampuan akibat terjejas kerana PKP.

Pada MLM 2019 lalu, Man yang menganggotai kumpulan Puteh bersama Mamak dan Ali diumumkan sebagai juara sekali gus membawa pulang hadiah wang tunai bernilai RM500,000 berserta trofi.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan