TIGA artis syarikat rakaman Indigital Music iaitu Haiza Hanafi, Siti Sarah Raisuddin dan Dafi tampil menghulurkan bantuan kepada mereka yang memerlukan di Pontian, Johor, baru-baru ini.

Haiza yang juga penyanyi dan penyampai radio Kool FM berkata, ini adalah tanggungjawab sosialnya untuk membantu mereka putus mata pencarian sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Ada orang mencari pendapatan dengan bergaji harian, jadi mereka mengalami kesukaran ketika ini. Saya ambil inisiatif untuk memberikan keperluan asas kepada mereka yang terkesan dan setidaknya boleh menyambut Ramadan dengan tenang,” katanya.

Bagi Sarah pula, krisis yang berlaku bukan sahaja menjadi saat getir buat mereka yang terhimpit, bahkan menjadi ujian buat seluruh masyarakat.

“Ini mungkin fasa getir bukan sahaja buat kita di Malaysia, tetapi juga di seluruh dunia. Kalau orang senang pun merasa terkesan, apatah lagi orang biasa. Saya harap semua sabar dan reda menghadapinya.

HAIZA
HAIZA

“Harapnya lebih ramai yang prihatin dan bantu-membantu antara satu sama lain. Ini keindahan hidup bermasyarakat,” katanya.

Sementara itu, Dafi pula berharap kehadiran Ramadan disambut dengan tenang dan tiada anggota masyarakat yang rasa terpinggir.

“Mungkin sumbangan saya tidak sebesar mana, tetapi jika itu mampu memberikan senyuman kepada mereka, saya amat berbesar hati.

“Semoga semua orang menyambut Ramadan dengan tenang dan tiada insan yang terpinggir. Ini sahaja cara saya untuk membantu mereka yang sama-sama berkorban bagi memutuskan rantaian Covid-19,” katanya.

Siti Sarah
Siti Sarah

Disebabkan kekangan jarak dan PKP, sesi penyerahan sumbangan diwakili Pegawai Perhubungan Awam Indigital Music, Norwati Manan yang berada di Pontian dan mendapat kerjasama daripada badan bukan kerajaan (NGO), Pertubuhan Kebajikan Aspirasi Peduli Rakyat Marhaen.

Antara bahan keperluan yang diagihkan ialah beras, minyak masak, tepung, gula dan barangan keperluan harian yang lain.

Untuk fasa pertama, sumbangan diserahkan kepada petugas barisan hadapan termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang mengawal kawasan berdekatan dan seterusnya diberikan kepada 400 keluarga.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan