BAKAT Baki Zainal dalam pengacaraan bukanlah asing kerana sudah berada pada tahap tersendiri. Namun, kini dia makin aktif di dapur.

Sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksana, Baki akui banyak masa di rumah menyebabkan dia suka ke dapur memasak resipi kegemarannya.

“Saya memang selalu memasak, apatah lagi dulu sering ke luar negara kerana urusan kerja dan bercuti. Kalau saya rindu masakan mak, saya masak sendiri.

“Mungkin, minat ini (memasak) diwarisi daripada mak juga kerana dia pernah bekerja sebagai tukang masak. Ditambah, banyak resipi mak yang sedap-sedap.

“Memandangkan sekarang saya ada masa di rumah, saya belajarlah seberapa banyak yang boleh resipi mak. Masakan air tangan seorang ibu, tiada bandingannya,” kata Baki.

Menurutnya, dia juga dalam prancangan mengumpul 30 resipi air tangan ibu tercinta untuk dibukukan. Namun, katanya sebelum ini jadual kerja terlalu sibuk.

BAKI kongsi resipi masakannya di media sosial.
BAKI kongsi resipi masakannya di media sosial.

“Mak saya pun makin berusia dan keadaan kesihatannya tidak menentu. Jadi, sebagai anak yang tinggal bersama dan menjaganya, lebih baik saya masakkan hidangan makanan untuknya.

“Lagi pun, tak seronok juga kalau ambil saja resipi mak tetapi saya tak masak pun. Apa yang pasti, memasak bukan perkara yang menyukarkan.

“Memasak sangat senang asalkan tahu resipinya, ditambah dengan minat. Setakat ini, kebanyakan resipi saya kongsi di media sosial seperti Instagram (IG) dan Facebook (FB) sangat mudah dimasak,” ujarnya.

Baki berkata, dia memilih resipi mudah dan cepat dimasak kerana tidak mahu ada yang berfikir, memasak sukar dan merenyahkan. Pada hal, memasak adalah aktiviti menghiburkan.

“Disebabkan itu, dalam video saya dimuatkan juga elemen hiburan. Saya tidak mahu mereka yang menonton berasa tekanan ketika memasak. Bagi saya, memasak sendiri lebih puas.

“Menjamu selera dengan makanan dimasak sendiri yang juga resipi daripada insan tersayang, perasaannya sangat membahagiakan. Itu yang saya rasa,” katanya.

POPIA Filipina 'turon'.
POPIA Filipina ‘turon’.

BAKAT memasak diwarisi daripada ibu.
BAKAT memasak diwarisi daripada ibu.

Ujar Baki, selain berkongsi menu enak untuk berbuka, dia juga merancang menghasilkan beberapa hidangan lazat untuk sambutan Aidilfitri nanti termasuk sajian kuih-muih dan biskut.

“Saya cadang setiap video masakan baru akan dikongsi kepada pengikut media sosial setiap Isnin, Rabu dan Jumaat. Sejujurnya, sekarang saya ada banyak masa terluang.

“Dari asyik duduk saja, lebih baik saya kongsi resipi kepada pengikut yang sekali gus memastikan ada juga kandungan baru di media sosial. Sekurang-kurangnya, nampaklah saya ada aktiviti di rumah,” katanya.

Menurut anak bongsu dalam keluarga ini, penularan pandemik Covid-19 sangat menggerunkan. Katanya, jangan cuba ingkar arahan kerajaan dan sentiasalah bersabar duduk di rumah hingga keadaan benar-benar pulih.