PELAKON Amyza Aznan menyifatkan tindakan individu yang memuat naik gambarnya bersama beberapa selebriti berserta empat perkara adalah fitnah.

Empat perkara itu adalah meminta bantuan khas artis, menghina netizen pemikiran (IQ) rendah, tidak hairan ‘bawang’ netizen dan tidak hirau sokongan netizen.

Amyza yang juga pelakon drama bersiri Budak Tebing berkata, pihak itu berjaya membuat orang percaya dengan rancangan jahat yang diwujudkan.

“Hebat ‘admin’ dan ‘troopers’. Fitnah yang anda rancang berjaya. Anda berjaya membuat orang percaya dengan rancangan jahat anda. Tak apa, kalau rasa dengan fitnah yang sangat jahat ini boleh buat anda seronok, bangga, teruskan.

“Bagi yang kata takut sebab saya tutup komen, malas nak layan. Saya banyak kerja berfaedah lain dari menghadap benda negatif,” katanya.

Menerusi status sama, Amyza lebih takutkan jika tiba-tiba dunia kiamat.

FOTO ihsan FB
FOTO ihsan FB

“Nak takut dengan kecaman? Saya lagi takut sedang fitnah ini tersebar, manusia sedang leka, tiba-tiba dunia kiamat,” katanya.

Sementara di Instagram Stories, Amyza berkata, Allah ada untuk membalas segala fitnah yang disebarkan.

“Semoga fitnah yang disebarkan, Allah akan balas. Tak apa, Allah ada,” katanya.

Difahamkan, himpunan gambar selebriti itu membabitkan mereka yang didakwa memperlekehkan netizen di kumpulan Telegram yang diwujudkan Persatuan Seniman Malaysia (Seniman).

Paparan skrin perbualan beberapa selebriti itu disebarkan dan menjadi tular di media sosial hingga membangkitkan kemarahan warganet.

Selain Amyza, selebriti lain yang terkait adalah Anne Abdullah, Emelda Rosmila, Didie Alias, Ifa Raziah, Ani Maiyuni, Azrul, Ogy Ahmad Daud, Lydiawati, Mas Rahayu, Riezman Khuzaimi dan ramai lagi.