PELAKON Azrel Ismail, 36, mengakui dia kini memang berkawan rapat dengan pelakon baru, Sharifah Husna, 27.

Azrel berkata dia mula rapat dengan Husna ketika mereka berlakon bersama dalam drama Puteri Yang Ditukar.

“Dalam drama itu, saya menjadi boss dan Husna pula sebagai setiausaha. Jadi, kami banyak juga babak bersama di pejabat. Saya selesa dengan Husna kerana dia tak sombong dan suka timba ilmu. Kami banyak berkongsi pandangan mengenai watak dilakonkan,” katanya mengakui pernah beberapa kali mereka keluar bersama.

Mengulas soal ‘friend zone’, Azrel berkata, dia tidak berasakan hubungan rapatnya dengan Husna sebagai syok sendiri.

“Kami tahu sejauh mana hubungan rapat dijalin. Kami kini bersahabat baik dan belum ke tahap bercinta.

“Kalau kena ‘friend zone’ pun saya tak kisah, sebab hubungan kami bermula sebagai sahabat. Cinta tak boleh dipaksa,” katanya.

Menurut Azrel, soal cinta atau jodohnya diserahkan kepada ketentuan Allah saja. Ketika ini, fokusnya adalah karier.

“Saya pun ada keluarga yang perlu ditanggung di kampung selain diri sendiri. Saya juga baru empat tahun membina kerjaya lakonan. Jadi, saya kena tumpu pada karier dan giat kumpul aset selagi mampu. Apatah lagi, buat masa ini kena rehat kerja seketika sebab penularan Covid-19,” katanya.

Azrel berkata selagi keadaan tidak pulih, dia akan terus duduk di rumah seperti disaran kerajaan yang kini melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

 

  • Lagi berita berkaitan Covid-19

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan