NAMA pengarah Aziz M Osman pastinya sudah berada pada tahap tersendiri. Apatah lagi, pembabitan Aziz dalam industri hiburan sejak kanak-kanak.

Sebelum aktif dalam pengarahan, Aziz sudah berlakon. Malah, drama paling mantap lakonannya adalah Opah pada era 1980-an dengan watak Bakar atau Burn.

Pun begitu, mengulas perkembangan terbarunya kini, Aziz berkata dia masih tetap aktif dalam industri seni terutama di belakang tabir.

“Sebenarnya, saya dah tidak perlu buktikan apa-apa lagi. Apatah lagi, nak bersaing dengan penggiat seni generasi muda untuk aktif menghasilkan filem,” katanya.

Bagi Aziz, lagi pun tidak perlulah dia merosakkan kerjaya gemilangnya dalam bidang seni selama ini dengan tampil menghasilkan karya baru hanya untuk bersaing dengan pengarah muda.

Sutradara berpengalaman berusia 58 tahun ini pernah mencetuskan fenomena tersendiri apabila menghasilkan filem pecah panggung XXray, XXray 2 dan Fenomena pada pertengahan 1990-an.

Apapun akuinya, dia kini memperlahankan langkah dalam pengarahan dan lebih senang terbabit sebagai tenaga di sebalik tabir.

“Saya sekarang banyak meluangkan masa untuk kumpul karya dengan menulis skrip.

“Saya tidaklah aktif seperti dulu. Bagi saya, sangat perlu perlahankan langkah sekarang bagi memberi peluang kepada golongan penggiat muda berkarya.

“Saya tak perlu melihat ke depan dalam bidang pengarahan lagi kerana rasanya karier saya sudah berada pada tahap seadanya. Alhamdulillah dah sampai kemuncak,” katanya.

Menurut Aziz lagi, mungkin dahulunya dia menghasilkan filem kerana ghairah dan mempunyai banyak idea.

“Sekarang kalau rasa nak buktikan keupayaan dalam berkarya, itu sesuatu yang tak bagus.

“Biar saya buat dengan maksud karya itu bagus dan bukan berlandaskan tujuan nak bersaing dengan pengkarya generasi baru,” katanya.

Dia turut menafikan pengarah veteran sepertinya dipinggirkan daripada mengarah drama untuk mana-mana stesen TV.

“Belum pernah lagi perkara ini terjadi kepada saya. Malah, mereka (stesen TV) sentiasa bertanya ada lagi tak karya daripada saya.

“Bagi saya amat penting karya itu datang daripada diri sendiri dan bukannya atas sebab permintaan.

“Kalau saya rasa perlu ketengahkan, saya akan buat. Saya hanya akan buat selepas melihat pasaran,” katanya.

Kini, darah seni serta pengalaman mendalam pada bidang pengarahan dimanfaatkan sebaik mungkin oleh Aziz dengan menurunkan ilmu kepada generasi baharu.

Dia sanggup mengikuti proses pembelajaran di Kolej Teknologi MEA, Kajang selama tiga bulan bagi layak menerima sijil yang diiktiraf oleh kerajaan.

“Syukur kerana penggiat seni diberi peluang mendapat sijil dan ijazah. Walaupun mempunyai pengalaman yang meluas, saya tak kisah untuk belajar lagi.

“Kalau kerajaan beri pengiktirafan, saya akan rebut peluang itu. Saya ibarat pemimpin kepada pelapis muda yang berada di menara gading.

“Untuk saya pimpin mereka, perlu ada kelayakan untuk mengajar. Sekarang pun saya memang menjadi penceramah jemputan untuk subjek filem secara sambilan di kolej swasta dan universiti,” katanya.

Aziz yang pernah menghasilkan filem epik tanah air iaitu Leftenan Adnan memberitahu dia berminat mahu serius bergelar penceramah dan pensyarah filem.