DALAM tempoh seluruh negara dan pelosok dunia berperang dengan Covid-19, menjadi tanggungjawab setiap individu untuk menjaga diri dan persekitaran bagi memastikan rantaian wabak pandemik ini diputuskan.

Setiap tindak-tanduk kita akan memberikan kesan kepada persekitaran dan orang di sekeliling. Ini juga yang ditekankan penyanyi dan cef selebriti, Datuk Fazley Yaakob.

Baru-baru ini, beliau menjalankan proses kuarantin secara bersendirian selama 31 hari dan terpaksa berjauhan dengan keluarganya kerana enggan merisikokan insan tersayang.

Berkongsi pengalamannya menjalani kuarantin secara bersendirian, Fazley menyarankan rakyat Malaysia yang baru pulang dari luar negara untuk tidak memandang remeh mengenai rutin yang patut dilakukan.

“Sekiranya anda pulang dari luar negara, saya menyeru supaya anda patuh perintah kerajaan dan melakukan kuarantin.

“Sepanjang tempoh itu, antara rutin harian saya adalah untuk memeriksa suhu badan setiap hari pada waktu yang sama.

“Ramai juga yang menghantar mesej kepada saya dan bertanya apa yang perlu dilakukan termasuk pada siapa yang patut mereka rujuk,” katanya.

Fazley juga berkongsi pengalamannya menjalani kuarantin di Singapura yang ada sedikit perbezaan dengan sistem di Malaysia.

“Dalam tempoh kuarantin di Singapura, banyak benda yang saya belajar. Di sana, cara pemantauan mereka sedikit unik dan berbeza dari Malaysia.

“Setiap kawasan atau premis yang kita masuk, akan ada pemeriksaan suhu badan dan selepas itu, setiap individu akan ditampal dengan stiker yang menyatakan mengenai suhu badan mereka.

“Dari situ, setiap individu lain yang berada dalam premis sama akan lebih peka dengan persekitaran dan orang di sekeliling,” katanya.

Selepas menghabiskan sesi kuarantinnya secara bersendirian, Fazley pulang ke pangkuan keluarga, sekali gus mengubat kerinduan kepada ibu, isteri dan anak-anaknya.

“Sepanjang kuarantin dan berada jauh dari keluarga, memang saya sangat risaukan keadaan mereka. Mujur isteri saya pandai berdikari dan beranikan diri untuk keluar dan mencari barangan keperluan.

“Anak-anak paling terkesan kerana mereka sangat rapat dan manja dengan saya,” katanya.

Fazley terpaksa berada di Singapura bagi menghabiskan rakaman program Cake Champion musim kedua dan bertindak sebagai juri tetap.

“Pada ketika itu, kerajaan belum lagi mengumumkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan saya berada di sana untuk menyelesaikan penggambaran program TV.

“Jadi, bila kerajaan umumkan PKP, saya ambil keputusan untuk balik ke tanah air. Tetapi, penerbit meminta saya supaya selesaikan penggambaran terlebih dahulu kerana risau, kalau saya pulang ke Malaysia, mungkin sukar untuk datamg semula ke sana,” katanya.

Di rumah, Fazley kini banyak menghabiskan masa bersama keluarga dan pada masa sama, tetap memasak untuk beberapa program TV.

“Di rumah, selain habiskan masa bersama keluarga, saya rakam juga video memasak. Semuanya saya buat sendiri daripada penyediaan bahan sehinggalah rakaman.

“Bila dah selesai, saya akan hantar video berkenaan mengikut permintaan beberapa stesen TV. Selain itu, saya juga dihubungi menerusi panggilan video oleh beberapa stesen TV untuk berkongsi pengalaman menjalani kuarantin dan berkaitan masakan,” katanya.

Apapun, Fazley mengharapkan supaya semuanya yang berkaitan penularan wabak Covid -19 selesai secepat mungkin dan kesejahteraan negara kembali seperti sediakala.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19