SELEPAS lapan daripada 18 orang terdiri daripada pengarah, pelakon dan kru yang menjalani penggambaran drama berjudul Demi di Inverness, Scotland bulan lalu disahkan positif Covid-19, seorang lagi pelakonnya, Ashraf Muslim didakwa turut  dijangkiti virus berkenaan dan kini dirawat di salah sebuah hospital kerajaan.

Bagaimanapun, Ashraf sejak beberapa hari lalu terus membisu dan tidak menjawab panggilan dan mesej daripada pihak media berhubung dakwaan itu.

Dalam mesej WhatsApp yang dihantar, Ashraf cuma membalas ringkas tanpa menjelaskan keadaan kesihatannya ketika ini.

“Waalaikummussalam, apa khabar? maaf, tak reply (balas) sebelum ni,” tulisnya.

Namun, selepas dua hari tidak memuat naik hantaran di Instagram, hari ini Ashraf memuat naik video doa untuk tatapan pengikutnya.

Menerusi hantaran itu, Ashraf turut berkongsi kira-kira 11 hari lagi umat Islam akan mula menjalani ibadah puasa dan sayunya hati jika tahun ini tidak dapat berbuka dan solat terawih bersama keluarga serta rakan di masjid.

“Ya Allah, engkau tarik nikmat dengan sekejap saja. Kami rindukan Ramadan kami. Mohon ampun di atas kesalahan kami lakukan sebelum ini.

“Kami yang banyak bersalah kerana solat lambat, tak patuh atas arahanmu, jarang membaca Al-Quran,  lupa untuk berzikir dengan zikir ‘Laillahaillah, kami melakukan maksiat mata dan tubuh badan kami.

“Kami melanggar fitrah yang ditetapkan olehmu, kami sombong denganmu dan kami tidak mebghormati antara manusia. Maafkan kami ya Allah, kami hamba yang lemah dan ingin dekat denganmu” tulisnya.

Pada perkongsian itu,  Ashraf turut menulis tiga tanda pagar iaitu #rinduramadan #bersabarlahwahaihati dan #stopcovid19.

Pasukan produksi berkenaan belepas ke Scotland pada 9 Mac lalu dan kembali ke tanah air pada 31 Mac lalu. Pengarah, Rahila Ali; pelakon, Puteri Aishah; pelakon kanak-kanak, Puteri Rayanna Rayqa dan ibunya; jurukamera, Ambia Ahmad dan tiga lagi kru disahkan positif Covid-19 sebaik pulang ke sini.

Ashraf turut melakukan kuarantin diri di rumahnya. Turut bersama mereka ke Scotland ialah pelakon Ben Amir dan Hasnul Rahmat, namun Ben yang pulang beberapa hari lebih awal dan disahkan negatif Covid -19 selepas menjalani pemeriksaan.