BARISAN artis tanahair sepakat mempertahankan usaha dakwah Ustaz Ebit Liew (UEL) yang sering turun padang membantu insan-insan memerlukan terutamanya sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan kerajaan.

Mereka antaranya Datuk Hattan, Lan A To Z, Zarina Anjoulie, Uchop Ahmad, Hairi Safwan, Elda Susanti, Azza Elite, Shima, Fauziah Ahmad Daud, Fauziah Nawi serta ramai lagi, melahirkan perasaan kesal terhadap tindakan segelintir individu yang mempertikaikan usaha murni itu termasuk mengecam UEL.

Pelakon Datuk Adi Putra menerusi Instagramnya memberitahu, dia tidak teragak-agak untuk mempertahankan niat baik UEL terhadap masyarakat.

“Siapa saja yang menghentam Ustaz Ebit Liew tanpa usul periksa, saya tak teragak untuk ke depan. Biar menunjuk yang ada niat dari dihentam pada yang lemah,” katanya.

DATUK Adi Putra
DATUK Adi Putra

Adi Putra atau nama Mohamed Hadi Putera Halim, 39, turut gembira apabila UEL kembali melakukan kerja dakwah selepas beberapa hari menyepi kerana terkesan dengan kritikan yang dilemparkan terhadapnya.

“Alhamdulillah anda semua jangan risau,” katanya.

Pelakon Sharnaaz Ahmad pula memberikan kata semangat kepada UEL supaya terus melakukan kerja-kerja amal yang dibuat sebelum ini.

Bahkan, dia begitu menghormati aktiviti amal UEL dalam membantu mereka yang memerlukan.

SHARNAAZ Ahmad
SHARNAAZ Ahmad

“Buat Ustaz Ebit, aku memang respek lah kat hang. Itu je aku boleh cakap. Kalau hang nak aku sain (tandatangan) petisyen, aku sain lah petisyen kat hang.

“Teruskan ustaz, jangan dok pi hadap musibat lain yang tak puas hati dengan hang, hang buat tak tahu je ustaz.

“Apa yang hang buat ni ustaz, bukan setakat bangsa Melayu, bukan setakat agama Islam sahaja, agama lain pun pandang tinggi pada hang,” katanya.

Terdahulu, isu ini tular apabila UEL menziarah keluarga Ishak Darus yang tinggal di sebuah rumah usang di Alor Setar, Kedah.

Berikutan itu, ada beberapa pihak termasuk individu bertaraf ‘ustaz’ turut sama mengecam UEL.

Individu berkenaan mempertikaikan kononnya UEL tidak mematuhi syarat penjarakan sosial ketika menyampaikan bantuan, selain memuat naik gambar serta video orang miskin di media sosial yang didakwa mengaibkan mereka.

UEL kemudian berkongsi kesedihannya kerana niat baik.disalah erti dan membuat keputusan ‘berehat’ untuk memberi bantuan secara langsung kepada golongan yang memerlukan.