JURUKAMERA drama Demi yang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU), Hospital Sungai Buloh (HSB) akibat Covid-19, Ambia Ahmad kini ditempatkan di wad biasa.

Isterinya, Nurshazreen Zulkefli, 32, ketika dihubungi berkata, dia sudah dapat berhubung dengan Ambia berbanding sebelumnya.

“Alhamdulillah, sudah hampir seminggu suami keluar ICU. Sekarang dia dirawat di wad biasa. Disebabkan masih di wad Covid-19, jadi tidak dibenarkan ada pelawat. Sebelum ini pihak hospital saja maklumkan mengenai keadaan dirinya.

“Sekarang, dia sendiri yang ‘update’ dan sudah boleh buat panggilan video. Dia juga sudah kuat sikit sekarang,” katanya kepada Harian Metro.

Mengenai kesihatan Ambia, Nurshazreen berkata, keadaan suaminya sudah banyak perubahan dan semakin baik.

“Alhamdulillah, banyak perubahan berbanding sebelum ini. Dia sudah boleh boleh bergurau dan bercakap pun lebih lancar. Cuma, dia ada cakap badannya masih ada rasa bias-bisa. Paru-paru  pun masih ada darah beku,” katanya.

Terdahulu, Ambia dimasukkan ke HSB sejurus tiba di tanah air sekembalinya dari menjalani penggambaran di Inverness, Scotland, 31 Mac lalu.

Ambia hanya mula sedarkan diri pada 9 April lalu, namun ketika itu paru-parunya masih lemah.

Ambia mempunyai dua anak berusia empat dan dua tahun.

Selain Ambia, empat kru lain termasuk tiga pelakon dan ibu pelakon kanak-kanak yang terbabit dalam penggambaran di sana disahkan positif wabak itu.

Mereka berlepas ke Scotland pada 9 Mac lalu iaitu sebelum peningkatan kes Covid-19 kes dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan