KOMPOSER dan penyanyi hip hop popular, Altimet teruja apabila lagu nyanyiannya bersama Malik Abdullah dan Cuurley iaitu Kita Jaga Kita menjadi pilihan kerajaan sebagai lagu tema untuk memerangi pandemik Covid-19.

Lagu ciptaan Cuurley dan lirik oleh Altimet dan Bo Amir Iqram itu yang juga lagu tema filem Ejen Ali The Movie turut diguna pakai sebagai peringatan kepada masyarakat dengan tanda pagar #kitajagakita.

“Kami sangat berbesar hati dan terharu dengan apa yang dilakukan. Perkara ini juga di luar jangkaan kami dan pasukan WAU Animation yang menerbitkan filem Ejen Ali,” katanya kepada Harian Metro.

Altimet atau nama sebenarnya Syed Ahmad Syed Abdul Rahman Alhadad berkata, walaupun bergelar artis, mereka tetap mahu memberikan sumbangan menerusi cara tersendiri kepada tanah air.

“Kami cuma penyanyi dan pemuzik, bukan pekerja barisan hadapan dan bukan pekerja khidmat penting. Jadi, apa cara sekalipun kami dapat menyumbang yang sesuai untuk membangkitkan mood rakyat Malaysia, kami akan lakukan sebaiknya,” katanya.

Mengulas perkembangan terkini, Altimet berkata, mereka bertiga sedang mengusahakan lagu terbaru nyanyian Malik.

“Saya dan Cuurley percaya dia sangat berbakat. Tempoh PKP ini digunakan saya untuk menulis lagu. Saya cuba menyiapkan satu hari satu lagu,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan