SELEPAS muncul dengan lagu Rampung awal tahun lalu, nama penyanyi Ben Ladin seakan menyepi. Apatah lagi, dia juga ‘bersih’ dari sebarang gosip dan cerita sensasi.

Bagaimanapun, di sebalik cerita menyepi itu, pemuda berusia 20 tahun itu berkata, kerjaya seninya tetap berjalan seperti biasa kerana banyak terbabit dengan kerjadi belakan g tabir.

“Nama saya mungkin nampak sepi, tapi urusan kerja seni tetap ada dan menerima banyak tawaran kerja belakang tabir untuk buat muzik lagu beberapa iklan komersial.

“Selain itu, saya juga dalam proses menyiapkan produk lagu baharu sendiri yang lebih mantap untuk pendengar. Sejujurnya, saya sangat komited dalam menghasilkan karya lagu ini.

“Biasalah orang dalam ‘gua’ macam lirik lagu saya, memang jarang menghebahkan aktiviti sebenar dibuat. Saya biasanya akan kongsi di media sosial apabila hasilnya sudah siap,” katanya.

Menurut Ben atau nama sebenarnya Muhammad Benladen Munshi Shaihan, dia selesa tidak mencanang terlalu awal hasil kerjanya sebelum betul-betul siap.

Katanya, setiap penggiat seni ada cara mereka.

“Cara saya ini mungkin sikit berbeza daripada artis lain. Ini kerana, saya memang suka ‘low profile’ sejak dulu. Lagi pun, saya mula menceburi kerjaya seni sejak kanak-kanak.

“Saya berlakon, menyanyi dan mengacara juga sudah lama. Alhamdulillah, saya sangat faham dengan senario kehidupan penggiat seni. Malah, saya memilih untuk biasa-biasa sahaja,” katanya.

Berbicara mengenai situasi akibat penularan Covid-19, Ben berkata, disebabkan krisis kesihatan yang melanda seluruh dunia ini juga, maka aktiviti persembahan tidak dibenarkan di negara ini.

“Dalam keadaan sekarang, kesihatan dan keselamatan lebih utama. Apapun, saya bersyukur rezeki tetap ada melalui ulasan produk yang dibuat di platform media sosial dan digital.

“Saya membuat perkongsian di Instagram lebih ke arah aktiviti kerja sahaja. Setakat ini, saya tidak membuat perkongsian peribadi yang membabitkan aset sendiri.

“Bagi saya, cukuplah pengikut di Instagram tahu kemas kini yang saya kongsikan. Manakala, urusan kehidupan peribadi dan aset rasanya tidak perlu pun untuk diambil tahu.

“Saya gemar perkongsian yang berpada-pada terutama soal kerja. Saya sebenarnya, tidak mahu memberi ruang untuk orang mengkritik dan mengecam. Biarlah komen yang baik serta positif saja,” katanya.

Untuk lagu baru, Ben merancang mahu melancarkannya tahun ini juga.

Selain Rampung, sebelum ini Ben pernah popular dengan lagu Hikayat Benladin yang kedua-duanya bergenre hip hop.