BERMULA sebagai penyampai jemputan di Hot FM beberapa minggu lalu, kehadiran Riena Diana sebagai penyampai terbaharu di stesen radio itu pastinya memberi pengisian yang lebih segar dan terkini, seiring dengan sasaran pendengar Hot FM yang memfokuskan pendengar berusia 15 hingga 29 tahun.

Bagaimanapun, Rieana yang dipilih mengendalikan segmen Geng Pagi di Hot (GPH) FM bersama Fizie dan Mark Adam tetap meletakkan kerjaya lakonan sebagai nombor satu.

Riena yang popular menerusi watak Laila atau Lailer dalam drama bersiri Kampung People berkata, dia masih aktif berlakon dan menerima tawaran berlakon.

“Bidang lakonan akan selamanya menjadi nombor satu buat saya, tetapi untuk masa sekarang fokus akan lebih tertumpu kepada Hot FM sebab masih baharu dan banyak lagi ilmu perlu ditimba.

“Saya masih lagi menerima tawaran berlakon dan alhamdulillah, pihak produksi yang saya bekerjasama memahami dan masih memberi ruang untuk berlakon.

“Saya harus bijak membahagikan masa dengan baik supaya jadual bersama Hot FM dan lakonan tidak bertembung. Jadi, apa saya buat sekarang adalah memastikan segala jadual aktiviti seni dirancang awal supaya tidak memberi masalah kepada semua pihak,” katanya.

Dalam masa sama, Riena berkata, kerjaya baharu ini adalah platform terbaik buat dirinya untuk mengasah bakat menjadi artis serba-boleh.

“Menerusi radio, suara saya akan didengari oleh pendengar hampir setiap hari. Ini menjadi pemangkin buat saya untuk terus memperbaiki kelemahan dan timba ilmu daripada semua pihak terutamanya rakan penyampai di Hot FM. Kepercayaan daripada pendengar tidak akan diabaikan,” katanya.

Terdahulu, pengurusan Hot FM mengumumkan penyertaan Riena dalam segmen itu dan bergandingan dengan Fizie dan Mark Adam, setiap Isnin hingga Jumaat, bermula jam 6 hingga 10 pagi, Rabu lalu.

Riena dipilih bagi mengisi kekosongan kerusi penyampai segmen Geng Pagi di Hot FM itu selepas pelawak, Shuib Sepahtu berhenti dan Shuk Sahar ditamatkan kontrak.

Sementara itu, Ketua Audiens Melayu, Nik Nor Azura Nik Mahmood berkata, keupayaan serba boleh Riena untuk menarik khalayak di platform digital adalah antara faktor mengapa Riena menjadi pilihan Hot FM.

“Selain daripada penyampaian sewaktu ke udara, impak Riena di platform digital juga memainkan peranan mengapa dia dipilih untuk menjadi sebahagian daripada keluarga kami. Banyak komen positif yang kami terima di media sosial dan ia menunjukkan Riena mempunyai ciri-ciri yang membuatkan pendengar senang dengan dirinya,” katanya.

Dalam masa sama, Azura berkata, GPH tampil dengan pengisian serba baharu bersama trio Mark Adam, Fizie dan Riena Diana.

“Banyak segmen baharu yang kami tampilkan antaranya Bro Marky, watak yang dimainkan Mark Adam yang serba tahu akan cuba untuk menyelesaikan semua persoalan para pendengar dengan jawapan yang mencuit hati dan bersahaja.

“Selain itu, kami juga ada segmen Jangan Layan, di mana GPH akan menelefon pendengar secara rawak dan uji sama ada mereka layan atau tidak panggilan daripada orang yang tidak dikenali. Menerusi segmen ini, pendengar dapat berhibur dengan keletah spontan daripada mereka bertiga.

“Kami juga mengekalkan segmen Goreng Pisang Hot dan English Hot bersama Teacher Fatimah kerana kedua-dua segmen ini mempunyai pengikutnya yang tersendiri, cuma menerusi trio baru ini, pengisiannya akan menjadi lebih segar dan padat,” katanya.