PELAKON Abby Abadi gembira apabila dapat membantu seorang wanita yang baru melahirkan anak di sebuah hospital di Klang yang tidak mampu menjelaskan bil hospital sebanyak RM5,000.

Semalam, Abby memulakan kutipan sumbangan dana di Instagram dan tempoh kurang sejam, jumlah kutipan sudah mencecah hampir RM10,000.

 

Menurut Abby, bil itu agak tinggi kerana wanita terbabit adalah warga asing.

 

“Saya sangat gembira dan terharu. Berkait dengan sumbangan yang saya umumkan untuk bantu bayarkan bil hospital ibu bayi di Klang malam tadi. Alhamdulillah, kita berjaya. Dalam masa kurang sejam, sudah terkumpul hampir RM10,000,” katannya.

 

 Menurut pelakon drama bersiri Gerak Khas itu, ini bukan kali pertama dia menghulurkan bantuan kepada wanita yang bersalin.

 

FOTO Ihsan Instagram Abby Abadi
FOTO Ihsan Instagram Abby Abadi

 

“Memang kejutan buat saya juga sebenarnya sebab saya jarang kumpul sumbangan begini. Apabila nak buat apa-apa sebelum ini, saya diam-diam saja layan diri.

 

 “Antara jam 1 hingga 2 pagi semalam, banyak mesej masuk meminta nombor akaun bank untuk sama-sama menyumbang. Ada yang bagi sampai RM1,000. Ada juga pelajar yang bagi RM12. Rasa nak menangis saya melayan hingga tertidur,” katanya.

 

 Pada jam 11 pagi hari ini, Abby bersama suaminya, Muhammad Faizal Zakaria pergi ke hospital berkenaan untuk menyerahkan bayaran bil hospital wanita itu.

 

 Abby berkata, dia perlu kongsikan mengenai sumbangan itu kerana ia membabitkan dana sumbangan daripada orang ramai.

 

 “Saya pernah buat perkara yang sama beberapa kali sebelum ini. Bantu ibu bayi, dahulukan duit saya yang tak seberapa nak ada. (Mereka) janji nak bayar semula, (kemudian) hilang terus. Terpaksa telan seorang diri sebab buat pun sendiri.

 

 “Jadi, kali ini apabila ia membabitkan dana orang ramai, saya kena kongsikan semua cerita supaya tidak timbul fitnah. Doakan dapat penyelesaian terbaik untuk ibu bayi di Klang ini,” katanya yang memuat naik sumbangannya itu di Instagram.