PROGRAM jenayah nombor satu negara, 999 bakal tampil dengan wajah baharu apabila wartawan segmen Viral, Sofea Nur Solehha Tun bakal menggantikan pengacara Anim Ezati Rizki bermula 7 April ini.

Sofea berkata, perasaannya kini bercampur baur antara teruja dan takut apabila dipilih sebagai pengacara baru program itu selepas dikendalikan Anim hampir empat tahun.

“Sebenarnya saya masih baru menyertai keluarga 999 apabila mengendalikan segmen Viral dalam program itu. Namun, saya dapat melihat komitmen setiap kru produksi dalam membuat liputan jenayah berprofil tinggi.

“Saya banyak belajar ketika bersama mereka. Ini adalah satu perjalanan yang baru dan saya begitu teruja untuk merasai sendiri pengalaman ini,” katanya.

Menurut Sofea, dia tidak pernah terfikir bakal diberi kepercayaan secepat ini namun akan berusaha sehabis baik untuk memastikan program ini terus berjaya.

“Setakat ini saya sudah melakukan tanggungjawab yang diberikan dengan sebaik mungkin. Saya gembira apabila diberi mandat ini kerana berpeluang mengupas isu berkenaan jenayah.

“Saya sedar kerjaya ini juga terdedah dengan pelbagai risiko bahaya dan ia antara perkara yang saya turut memberi perhatian.

“Cuma apa yang boleh saya lakukan adalah sentiasa berhati-hati dengan keadaan sekeliling ketika saya mengupas sesuatu isu yang disampaikan,”katanya.

Sementara itu, Anim berkata, melihat keadaan dirinya yang sedang hamil dia berasa tidak sesuai untuk menggalas tanggungjawab itu kerana perlu turun lapangan untuk membuat liputan atau siaran langsung.

“Usia kehamilan saya sudah 14 minggu, jadi saya ambil keputusan untuk menarik diri kerana menjadi pengacara 999, saya perlu turun padang.

“Lagipun tidak sesuai untuk saya membuat liputan dan terbabit dengan beberapa operasi berkaitan jenayah dalam keadaan sekarang.

“Jujur keputusan ini amat berat kerana sudah hampir empat tahun saya bergelar pengacara 999 tapi Alhamdulillah saya masih boleh meneruskan minat ini apabila masih bergelar pengacara bersama di Malaysia Hari Ini,” katanya.