PENYANYI dan komposer, Ippo Hafiz menerima hampir 1,000 kiriman video dan gambar daripada peminat yang menampilkan kenangan mereka bersama ibu bapa masing-masing.

Itu adalah salah satu bahan yang digunakan Ippo untuk projek single terbarunya berjudul Syurga Buat Ayah Ibu.

“Single ini adalah untuk meluahkan rasa rindu buat ayah dan ibu kita terutamanya dalam krisis Covid-19 yang melanda dunia sekarang, ramai yang terpisah dengan ibu bapa masing-masing termasuklah saya sendiri.

“Jadi, saya mengajak peminat untuk turut serta dan meluahkan penghargaan mereka kepada ibu bapa masing-masing sekali gus membantu menjayakan projek istimewa ini,” katanya kepada Harian Metro.

Menurutnya, dia mendapat ilham untuk menghasilkan lagu itu selepas berpeluang menziarahi beberapa rumah anak-anak yatim di Terengganu dan Perak.

“Ketika menziarahi beberapa rumah anak yatim tahun lalu, terdetik dalam hati saya untuk menghasilkan lagu khas buat ayah dan ibu.

“Saya tak sangka ramai peminat yang ingin terbabit sama. Ada yang menghantar gambar dan video menerusi emel dan ada juga yang menggunakan tanda pagar #syurgabuatayahibu di platform media sosial masing-masing,” katanya.

Menurutnya, dia turut tersentuh kerana ada dalam kalangan peminatnya, yang menjadi anak yatim sejak kecil.

“Banyak yang mereka kongsikan mengenai pengalaman masing-masing bersama ibu bapa. Tapi, ada juga yang sudah bergelar anak yatim sejak kecil dan itu benar-benar menyentuh hati saya.

“Terima kasih kepada peminat yang sudi berkongsi gambar, video serta kisah kenangan mereka. Walaupun saya tak dapat nak masukkan semuanya dalam satu video, saya sangat hargai kerjasama anda,” katanya.

Selepas sejam dilancarkan di YouTube hari ini, video muzik Syurga Buat Ayah Ibu mencatat hampir 2,000 tontonan.