Zombie ditulis oleh Dolores sebagai lagu protes bagi membantah pengeboman yang dilaksanakan oleh Tentera Republik Ireland Utara (IRA) di Warrington, England pada Mac 1993. Foto – YouTube/The Cranberries.

LAGU "Zombie" oleh kumpulan The Cranberries mencatatkan 1 bilion tontonan di YouTube pada Sabtu.

Kumpulan itu melakar sejarah apabila video tersebut menjadi satu daripada enam video muzik di abad ke-20 yang pernah mencatat rekod berkenaan.

Ia juga menjadi video muzik pertama daripada kumpulan Ireland yang mencapai status itu.

Kenyataan ini susulan kempen oleh The Cranberries serta peminat mereka untuk mencapai rekod itu sejak beberapa bulan lalu.

Kumpulan itu dalam satu kenyataan menerusi media sosial menyatakan keterujaan mereka.

“Kami amat teruja dengan berita bahawa "Zombie" mencapai 1 bilion tontonan di YouTube.

“Kami pasti Dolores tersenyum lebar. Terima kasih kepada semua peminat di serata dunia di atas sokongan sejak sekian lama.”

Penyanyi utama kumpulan itu, Dolores O’Riordan meninggal dunia pada Januari 2018.

 

Zombie ditulis oleh Dolores sebagai lagu protes bagi membantah pengeboman yang dilaksanakan oleh Tentera Republik Ireland Utara (IRA) di Warrington, England pada Mac 1993 yang membunuh dua kanak-kanak dan mencederakan 56 yang lain.

Apabila video itu dilancarkan pada 1994, pada awalnya ia diharamkan oleh BBC kerana memaparkan imej kanak-kanak memegang senjata.

BACA: Kenapa lagu Zombie perlu difahami

Pada awal tahun ini, album studio terakhir The Cranberries "In The End" dicalonkan sebagai Album Rock Terbaik di Anugerah Grammy 2020.

Lima video lain dari abad ke-20 yang pernah mencatat rekod tontonan 1 bilion ialah "November Rain" dan "Sweet Child O’ Mine" oleh Guns N’ Roses; "Bohemian Rhapsody" oleh Queen; "Smells Like Teen Spirit" oleh Nirvana; dan "Take On Me" oleh A-ha.