Sufian Suhaimi popular dengan lagunya Di Matamu, Terakhir dan Janji – Sumber: Instagram @sufiansuhaimi

MASA terluang yang ada sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sama ada boleh memurungkan atau menaikkan semangat seseorang.

Ia juga bergantung kepada tindakan dan pilihan yang diambil oleh seseorang individu itu.

Bagi penyanyi popular tanah air Sufian Suhaimi, beliau mengambil masa yang terluang ini untuk memperbaiki diri.

Menurut penyanyi yang terkenal dengan lagu Di Matamu, beliau tidak memandang tempoh PKP sebagai satu kekangan namun ia satu peluang untuk menimba ilmu demi memperbaiki diri, perniagaan dan karier muziknya.

“Bagi saya, apa yang penting adalah kita perlu mencari ilmu dan tidak selalu kita dapat banyak masa seperti sekarang ini jadi dengan masa yang kita ada, apa kata kalau kita mencari ilmu yang kini boleh diakses di mana-mana seperti di Instagram, di YouTube, dengan membaca atau di kelas secara atas talian,” katanya ketika ditemu bual wartawan Astro AWANI menerusi aplikasi rakaman sosial Skype, pada Selasa.

Tambahnya yang juga merupakan komposer muzik dan pemilik perniagaan Baby Pian (Zikir Pillow), dengan ilmu pengetahuan serta penggunaan media sosial dengan cara yang betul, hasil jualan dapat ditingkatkan sekali gus perniagaan dirancakkan dalam tempoh PKP.

“Bagi mereka yang ingin memulakan perniagaan, di waktu PKP saya rasa ini adalah satu masa yang sangat sesuai bukan sahaja untuk memulakan perniagaan tetapi untuk menimba ilmu yang lebih banyak tentang apa yang kita patut lakukan untuk meletakkan perniagaan kita di satu tahap yang lebih tinggi,” ujarnya.

Dalam pada itu, sambutan terhadap Baby Pian yang merupakan bantal zikir anak kecil sangat memberansangkan sejak beberapa minggu negara berada dalam tempoh PKP.

Sufian Suhaimi melancarkan Zikir Pillow pada awal tahun 2020 sebaik sahaja menamatkan pengajian ijazah sarjananya.