Honor Blackman meninggal dunia akibat sakit tua di kediamannya di Sussex, England pada Isnin.

AKTRES veteran Hollywood, Honor Blackman dilapor meninggal dunia akibat sakit tua di kediamannya di Sussex, England pada Isnin.

Bintang filem yang pernah memegang watak gadis Bond dalam "Goldfinger" pada tahun 1964 itu meninggal dunia pada usia 94 tahun, lapor The Guardian.

Selain menjadi gadis Bond, Honor turut berlakon dalam siri televisyen "The Avengers".

Keluarganya dalam satu kenyataan menulis: "Dengan rasa dukacitanya kami mengumumkan kematian Honor Blackman pada usia 94 tahun.

"Mendiang pergi dengan tenang di kediamannya di Lewes, Sussex, dikelilingi oleh ahli keluarganya.

"Mendiang sangat disayangi dan pasti dirindui dua anaknya Barnaby dan Lottie, serta cucu-cucunya Daisy, Oscar, Olive dan Toby."

Penerbit filem Bond, Michael G Wilson dan Barbara Broccoli dalam satu kenyataan di Twitter berkata: "Hari ini kita meratapi pemergian ikon filem, Honor Blackman yang akan selamanya diingati sebagai Pussy Galore dalam' Goldfinger'.

"Mendiang seorang yang berbakat besar dan ahli keluarga Bond yang amat disayangi.

"Takziah kepada keluarga mendiang."

Selain Bond dan The Avengers, Honor turut berlaokn dalam filem "Jason and the Argonauts" dan "The Upper Hand."