BTS dijadualkan memulakan konsert mereka pada 25 April ini namun kini ditunda ke tarikh 6 Jun. -Gambar fail

KUMPULAN K-Pop terkemuka BTS menangguhkan konsert jelajah MAP OF THE SOUL di Amerika Utara ekoran kebimbangan penularan wabak COVID-19.

Syarikat rakaman BTS, Big Hit Entertainment berkata konsert tersebut kini ditunda ke Jun ini.

“Semua tiket yang telah dibeli boleh digunakan untuk tarikh baharu.

“Maklumat mengenai tarikh baharu konsert akan diumumkan secepat mungkin.

“Kami sedang memantau dan mengikuti panduan oleh kerajaan tempatan untuk mengadakan acara awam.

"Ini bagi memastikan kami dapat menyediakan persekitaran yang selamat untuk semua yang terlibat,” kata Big Hit dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Kata Big Hit lagi, mereka berkongsi maklumat tambahan mengenai tarikh konsert baharu ini tidak lama lagi.

“Kami mohon anda sabar dan faham dengan situasi ini.

“Kami akan terus berusaha untuk membawakan yang terbaik dan pengalaman konsert yang paling selamat buat anda secepat yang mungkin,” tambahnya.

Septet tersebut dijadual memulakan konsert mereka pada 25 April ini.

Penangguhan konsert tersebut melibatkan beberapa lokasi di Amerika Syarikat dan Canada seperti Santa Clara Los Angeles, Dallas, Orlando, Atlanta, New Jersey, Washington dan Toronto sebelum menutup tirai di Chicago.

Untuk rekod, setakat Jumaat (27 Mac), Amerika Syarikat mencatatkan bilangan kes positif yang tertinggi di dunia iaitu 82,000 kes.

Negara tersebut mencatatkan peningkatan mendadak bilangan kes sebanyak 17,119 menjadikan jumlah kumulatif kes positif meningkat kepada 82,404.

New York, Washington dan California merupakan bandar yang paling terjejas teruk di negara Uncle Sam itu.

Angka kematian di Amerika Syarikat pula melepasi paras 1,000 mangsa dengan keseluruhannya sebanyak 1,178 kes.

Pada Februari, BTS juga telah membatalkan konsert jelajah MAP OF THE SOUL di Seoul.

Big Hit juga memohon maaf kepada semua peminat yang ternanti-nanti untuk menghadiri konsert BTS MAP OF THE SOUL TOUR – SEOUL yang dijadualkan pada 11, 12, 18 dan 19 April di Jamsil Olympic Stadium.