BEKAS jurulatih kebangsaan, Abdul Rahman Ibrahim berpandangan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dan Liga Bolasepak Malaysia (MFL) tidak perlu membuat keputusan terburu-buru sama ada membatalkan atau meneruskan saingan Liga Malaysia (Liga M) musim ini.
Beliau yang juga bekas jurulatih dan pemain Terengganu sebaliknya berkata, badan induk bolasepak negara itu perlu melihat lebih teliti keadaan penularan wabak pandemik Covid-19 sebelum membuat keputusan.
Katanya, FAM dan MFL boleh merujuk dan mengambil panduan dalam liga utama di Eropah yang sehingga kini belum lagi memutuskan sama ada akan meneruskan liga atau membatalkannya.
Katanya, Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) juga belum membuat keputusan rasmi untuk membatalkan perlawanan bola sepak di dunia, cumanya badan induk bolasepak dunia itu meminta liga tidak disambung lagi ketika ini bagi mengelak penularan wabak pandemik itu.
“Jika tanya pendapat saya, sekiranya liga di Eropah diteruskan dan mendapat keizinan daripada FIFA untuk diteruskan, saya fikir tidak ada masalah untuk meneruskan Liga M, tapi perlulah keadaan wabak Covid-19 itu 100 peratus sudah pulih dan hanya liga dan Piala FA sahaja diteruskan manakala Piala Malaysia perlu ‘dikorbankan’.
“Ini kerana kerana Juara Liga Super dan juara Piala FA adalah mustahak bagi mencari pasukan yang akan mewakili negara ke kejohanan Piala AFC dan Liga Juara-Juara Asia (ACL).
“Namun masalah lain pula pasti timbul seperti kehadiran penonton pasti kurang dan lebih parah jika perlawanan berlangsung tanpa penyokong sudah tentu menjejaskan pendapatan pasukan dan penaja mengalami kerugian.
“Tapi jika FIFA dan liga Eropah memutuskan untuk membatalkan liga disebabkan rantaian penularan wabak pandemik itu masih lagi tidak dapat dihentikan, lebih baik kita ikut keputusan FIFA,” katanya.
Semalam Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yasin mengumumkan PKP yang bermula 18 Mac lalu dilanjutkan sehingga 28 April ini bagi mengekang penularan wabak pandemik itu.