KETUA Eksekutif PGA Amerika Syarikat, Seth Waugh berkata, pihak penganjur sedang mempertimbangkan beberapa senario untuk Kejohanan US PGA berlangsung dari 6 hingga 9 Ogos di San Francisco.

Waugh menerusi satu temuramah bersama radio SiriusXM berkata, pilihan pertama adalah untuk melangsungkan kejohanan itu seperti yang dijadualkan di Harding Park.

Pilihan kedua adalah menganjurkan kejohanan itu buat pertama kali tanpa penonton manakala ketiga, memindahkan lokasi kejohanan itu ke satu tempat lain sekiranya sukar dianjurkan di California.

Kejohanan itu sudah pun ditangguhkan dari Mei berikutan pandemik Covid-19 yang menjejaskan kalendar golf dan semua acara sukan di dunia.

“Perancangannya adalah untuk menganjurkannya seperti biasa dengan kehadiran penonton di Harding Park.

“Jalan paling selamat adalah menganjurkannya tanpa penonton. Kami sudah bersedia sepenuhnya dengan kemungkinan itu.

“Kami percaya melihat penganjuran kejohanan itu yang disiarkan di televisyen adalah lebih baik tidak kiralah sama ada terdapat penonton atau tidak.

“Ia mungkin mengubah sedikit pengalaman tetapi kami berasakan dunia kini memerlukan hiburan terutama dalam acara sukan,” katanya.