PEMAIN Perlis United menuntut gaji penuh bulan Mac yang hanya dibayar separuh oleh pengurusan kelab ketika kontrak mereka juga turut ditamatkan secara tiba-tiba.

Malah, bekas ketua pasukan Perlis United, Azizi Mat Rose dan rakan sepasukan berharap kelab terus bersaing dalam Liga M3 dengan mengekalkan anggota skuad itu.

“Kita nak beraksi lagi sebab sayangkan pasukan. Saya harap pemain dapat terus dikekalkan bersama pasukan lebih-lebih pemain muda. Di samping itu, kita harap gaji penuh bulan tiga (Mac) juga dibayar kerana pemain hanya dibayar separuh saja waktu perjumpaan tempoh hari.

“PFA (Persatuan Bolasepak Perlis) tak ada kaitan dengan kes ini (penamatan kontrak pemain Perlis United). Apa yang kita mahu, cuma gaji penuh dan sambung kontrak semula,” katanya kepada Arena Metro.

Menerusi pendedahan eksklusif akhbar ini sejak kelmarin, pemain dan pegawai Perlis United didakwa ditamatkan kontrak dengan cara yang salah tanpa memberi sebarang notis awal kepada barisan pemain.

Malah, pemain turut diugut untuk menurunkan tandatangan dalam surat bertajuk ‘Penamatan Perjanjian Secara Sukarela’ yang sebenarnya disediakan oleh pengurusan kelab dan bukannya daripada pemain.

Oleh kerana terdesak memerlukan duit bagi meneruskan kehidupan, pemain kelab itu tiada pilihan lain apabila terpaksa menandatangani surat berkenaan demi kelangsungan hidup.

Susulan isu ini, Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dan Liga Bolasepak Amatur (AFL) meminta penjelasan segera daripada PFA mengenai pergolakan sebenar yang berlaku dalam kelab.

Berita berkaitan

• FAM perlu siasat PFA

• Mahu penjelasan

• Paksa berhenti?