KELAB Ligue 1, Reims berkabung semalam apabila doktor pasukan yang sudah lama berkhidmat, Bernard Gonzalez meninggal dunia kerana membunuh diri selepas beliau disahkan positif Covid-19.
“Mengejutkan, Reims menangisi pemergian Gonzalez. Bukan saja kelab ini tapi ratusan lelaki dan wanita di Reims,” kata kelab berkenaan melalui satu kenyataan.
Datuk bandar Reims, Arnaud Robinet berkata, beliau dimaklumkan mengenai tragedi menimpa doktor berusia 60 tahun itu yang sudah berkhidmat bersama pasukan lebih 20 tahun.
“Saya dimaklumkan Doktor Gonzalez ada meninggalkan nota di mana beliau ada menyatakan sudah diuji positif Covid-19,” katanya.
Laporan daripada sumber perubatan juga mengesahkan kewujudan nota itu namun Gonzalez berada dalam keadaan sihat dua hari lalu.
“Saya terkejut dengan kematiannya kerana beliau adalah seseorang yang saya kenali sudah sekian lama.
“Bukan saja disebabkan beliau doktor pasukan tapi untuk kebanyakkan penduduk di Reims. Beliau dikenali dengan sifat kemanusiaan dan profesional.
“Beliau akan dirindui oleh keluarga bola sepak dan mereka yang pernah bertemu dengannya,” kata Robinet.
Presiden Reims, Jean-Pierre Cailot berkata, beliau sangat terkejut mendapat tahu berita berkenaan.
“Pandemik ini merobek hati penduduk Reims. Seorang yang mempunyai personaliti hebat dan sangat profesional sudah meninggalkan kita,” kata Caillot.
Lebih 8,000 orang terkorban akibat Covid-18 di Perancis.