DAVE Brailsford menegaskan pasukannya, Team Ineos akan menarik diri daripada menyertai Tour de France 2020 jika langkah pencegahan koronavirus oleh penganjur tidak menepati tahap sepatutnya.

“Kami berhak menarik diri jika keadaan memerlukan,” katanya sambil merujuk kepada tindakan sama diambil pasukannya ketika saingan peringkat Paris-Nice susulan penularan wabak Covid-19 bulan lalu.

“Kami bercadang menyertai perlumbaan selepas ia dijadualkan semula tetapi kami perlu juga memantau situasi semasa sama seperti ketika peringkat Paris-Nice,” kata Brailsford.

“Ini pendekatan bertanggungjawab, praktikal dan bersebab.”

Selepas Presiden Perancis, Emmanuel Macron mengharamkan sebarang perhimpunan besar-besaran sehingga 11 Julai, tarikh asal Tour pada Jun ditunda ke 29 Ogos.

Bagaimanapun, keputusan itu mendapat kritikan keras daripada Devi Sridhar, Pengerusi Kesihatan Awam Global di University Edinburgh dan penasihat pandemik kerajaan Scotland.

Menurutnya, ia adalah ‘resipi malapetaka’ dan tindakan paling baik adalah membatalkannya terus tahun ini. “Ia keputusan menyakitkan tetapi mungkin mereka tiada pilihan.”

Menurut Brailsford pula: “Pasti ada banyak perdebatan mengenai apa yang betul dan salah mengenai tarikh perubahan selepas perintah berkurung dalam pelbagai aspek kepada masyarakat, termasuk acara sukan.”

“Kami akan memantau situasi dengan sangat berhati-hati dan sudah tentu mengambil kira arahan pusat dan semua pandangan.” – Agensi