TEMPOH Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi membendung penularan wabak pandemik Covid-19 sememangnya memberi cabaran besar kepada atlet sukan untuk mengekalkan tahap kecergasan dan prestasi semasa.

Namun, jika atlet berfikiran di luar kotak dan positif tanpa melihat situasi itu sebagai masalah besar pasti mereka dapat mengekalkan tahap kecergasan dan kemahiran.

Begitu yang dilakukan pelumba kereta rali profesional dari Kuala Terengganu, Muhammad Syakirin Razaki, 35 yang kreatif membina simulator perlumbaan di rumahnya bagi memastikan dia kekal cergas serta kemahiran pemanduannya tidak berkarat.

“Tempoh PKP ini sebenarnya memberi cabaran besar dan kesan terutama mengekalkan tahap kecergasan dan prestasi semasa lebih-lebih lagi kita belum pasti tarikh sebenar PKP ini tamat.

“Dalam masa sama ianya juga merencatkan siri latihan sudah dirancang di beberapa lokasi untuk saya mengekalkan prestasi terutama sukan ini yang memerlukan jentera lumba dan litar sepanjang masa untuk melakukan latihan.

“Namun selepas memikirkan situasi itu, saya membelanjakan sebahagian wang untuk bina ‘rig’ simulator sendiri di rumah bagi memastikan tidak ‘terlena’ dan kemahiran tidak tumpul. Saya membina dan mengubahsuai beberapa kelengkapan jentera lumba sebenar bagi menambah kualiti latihan diperlukan.

“Alhamdulillah simulator ini mampu memberi suasana latihan sebenar sebagai pelumba rali dengan teknologi perisian permainan sukan elektronik, malah pemilihan perisian dilengkapi pelbagai kenderaan dan litar turut menjadi faktor penting buat pelumba profesional.

“Lebih menarik dengan menggunakan simulator ini juga membolehkan saya berlumba dengan pelumba profesional lain dari seluruh dunia secara dalam talian,” ujar pelumba profesional itu yang berkelulusan Ijazah Kejuruteraan Mekanikal dari Universiti Tenaga Nasional.

Sepanjang pembabitannya secara serius bermula 2012, dia berjaya menaiki podium pertama bersama rakan sepasukan, Azmeer Yusri pada Kejuaraan Rali Malaysia pada tahun sama.

“Sejak itu saya fokus dengan perlumbaan dengan jentera lasak itu sehinggalah kini,” ujar Syakirin yang mengakui mengalami kerugian susulan penaja menarik diri kerana penganjuran perlumbaan ditangguhkan berikutan wabak pandemik Covid-19 itu.