PEMAIN Celta Vigo kelahiran Russia, Fedor Smolov mengingkari perintah berkurung di Sepanyol untuk pulang ke negara kelahirannya, sekali gus menjadi pemain kedua kelab berkenaan melanggari peraturan kerajaan berikutan pandemik Covid-19.

Kelab berkenaan berkata, Smolov meminta kebenaran untuk pulang ke kampung atas alasan peribadi namun mereka tidak memberikan pelepasan selepas La Liga menolak permintaannya.

Pemain berusia 30 tahun itu tetap terus memberitahu kelabnya mengenai pergerakkan pulang ke Russia da memberitahu mereka dia akan kembali semula apabila sudah menyelesaikan masalah peribadi.

Bagaimanapun, Celta tidak memberi reaksi mengenai permintaan berkenaan.

Rakan sepasukan Smolov, Pione Sisto meninggalkan Sepanyol bulan lalu ketika perintah berkurung untuk memandu pulang ke negaranya, Denmark.

Media Sepanyol melaporkan Sisto tidak memberitahu Celta mengenai pergerakannya sehingga dia meninggalkan negara berkenaan.

Sepanyol sudah melaksanakan perintah berkurung memasuki minggu keempat selepas ia dilanjutkan sehingga 26 April untuk menghalang penyebaran virus berkenaan yang sudah mengorbankan lebih 12,000 orang.