WALAUPUN Liga Perdana Futsal Malaysia (MPFL) musim ini belum menunjukkan tanda-tanda akan kembali bersambung berikutan krisis pandemik Covid-19, pemain Terengganu tetap bersemangat meneruskan latihan seperti biasa di kediaman masing-masing.
Ini dimaklumkan jurulatihnya, Mohd Rozairi Ahmad yang mengakui anak buahnya tetap meletak harapan tinggi untuk meneruskan aksi liga futsal selepas berakhir tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada 28 April ini.
Selain itu beliau berkata, persiapan rapi pasukan sebelum liga bermula turut menguatkan lagi keazaman anak buahnya untuk menjadi pencabar utama musim ini selepas berjaya menduduki tangga ketiga liga tahun lalu.
“Pemain meletakkan harapan tinggi agar pentas liga futsal ini yang baharu berlangsung satu perlawanan dapat diteruskan kembali selepas tamat tempoh PKP ini.
“Pemain kini begitu bersemangat beraksi, walaupun sedar latihan tidak dapat diadakan seperti biasa, namun mereka tetap mengadakan latihan di rumah masing-masing dengan mengikut modul dan program latihan sudah disusun.
“Setiap pemain diwajibkan menghantar video latihan mereka dan adakalanya saya bersama barisan kejurulatihan akan buat sidang video untuk melihat perkembangan latihan mereka, Alhamdulillah semua 23 pemain berada pada tahap terbaik ketika ini,” ujarnya.
Ketika ditanya mengenai peluang liga kembali bersambung selepas tamat tempoh PKP, beliau yang menyasarkan kedudukan lebih baik musim ini membayangkan kejohanan bakal bermula selepas sambutan Hari Raya Aidilfitri.
“Jika kembali bersambung selepas raya, jadual perlawanan pasti padat kerana pertambahan sebanyak 12 pasukan semuanya dan mungkin liga sahaja akan diteruskan manakala Piala Futsal perlu ‘dikorbankan’, tapi kita tunggu dan lihat perkembangan semasa,” ujar Rozairi.