KEJOHANAN Senior LPGA yang dijadualkan berlangsung pada 30 Julai – 1 Ogos di Indiana ditunda ke suatu tarikh tahun depan, menurut Pesuruhjaya LPGA, Mike Whan.

“Membatalkan sebarang acara memang sukar dan mengecewakan. Ia bukan keputusan mudah,” kata Whan.

“Kami amat berterima kasih di atas sokongan dan kemudahan diberikan oleh French Lick Resort and the Legends Tour.

“Paling penting, kita semua komited terhadap acara tradisi wanita senior dan kami tak sabar menyaksikan legenda wanita melakukan tee sekali lagi pada 2021.”

Kejohanan Senior LPGA yang dilangsungkan kali pertama pada 2017 menyaksikan Trish Johnson muncul juara. Laura Davies memenanganinya pada 2018 dan Helen Alfredsson menjulang trofi tahun lalu.

French Lick Resort Pete Dye Course menjadi penganjur setiap edisi.

Kalendar golf seperti banyak sukan lain turut terjejas akibat pandemik koronavirus. Jelajah USPGA semalam mengumumkan pelan tentatif untuk memulakan kembali pertandingan pada Jun depan dengan empat kejohanan pertama berlangsung tanpa penonton.