RUTIN Ramadan kembali seperti biasa buat penyerang sensasi negara, Safawi Rasid apabila dia menubuhkan ‘pasukan’ bersama rakan untuk menyalurkan bantuan kepada golongan kurang berkemampuan.
Skuad bantuan berkenaan yang disertai rakan rapat dan adik beradiknya itu akan mencari golongan kurang berkemampuan di sekitar Muar, Johor dan kampung halaman di Dungun, Terengganu untuk diberikan bantuan sewajarnya kepada mereka.
Pemberian bantuan oleh pemain Johor Darul Ta’zim (JDT) itu bukanlah perkara biasa kerana dia sudah melakukan kerja amal terbabit sejak bergelar pemain profesional.
Malah, dia juga boleh dikatakan seperti Yang Berhormat (YB) dengan hampir setiap hari di bulan Ramadan sudah pasti ada individu yang datang untuk meminta bantuan berupa barangan dapur dan keperluan asas.
“Saya mempunyai kumpulan yang akan bergerak menyalurkan bantuan kepada golongan memerlukan. Pada kali ini bantuan turut diagihkan kepada barisan hadapan demi memerangi Covid-19.
“Abang saya akan uruskan penyaluran bantuan di kawasan Muar, Johor, manakala di Dungun, Terengganu dan beberapa kawasan lain ada rakan yang membantu memberikan barangan keperluan kepada orang ramai.
“Saya cuma mahu kongsikan rezeki yang diperoleh kepada golongan memerlukan kerana mereka juga sentiasa menyokong industri bola sepak tanah air,” katanya ketika dihubungi Arena Metro.
Selain itu, Safawi berkata, berpuasa pada Ramadan kali ini memberi peluang kepadanya untuk bersama dengan adik beradik dan rakan serumah yang sebelum ini sibuk dengan hal masing-masing.
“Walaupun jauh dari kampung halaman berikutan tidak boleh pulang ke Dungun namun kesempatan berpuasa kali ini sebenarnya lebih meriah apabila masing-masing berbuka di rumah.
“Kami boleh melaksanakan solat tarawih bersama selain masa dihabiskan dengan aktiviti berfaedah sekali gus merapatkan lagi hubungan,” katanya.