KESATUAN Olahraga Malaysia (KOM) akan merangka latihan khas kepada atlet tukul besi, Jackie Wong sebaik dia kembali pulih bagi memastikan prestasinya tidak merudum akibat akibat dijangkiti Covid-19.

Presiden KOM, Datuk SM Muthu berkata, pihaknya akan berbincang dengan Majlis Sukan Negara (MSN) dan Institut Sukan Negara (ISN) untuk merangka modul latihan bersesuaian bagi atlet berasal dari Sibu, Sarawak itu.

Beliau berkata, perkara utama sekarang ini adalah memantau tahap kesihatan Jackie supaya dia kembali pulih.

“Kita sentiasa memantau tahap kesihatan atlet tukul besi itu, malah akan merangka modul latihan kepadanya nanti bagi membantu mencapai kembali tahap prestasinya.

“Setakat ini, dia tidak boleh menjalani latihan walaupun keadaannya semakin pulih dan perkara penting adalah Jackie tabah serta cekal mengharungi musibah,” katanya, ketika dihubungi Arena Metro, semalam.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19