SALAH seorang Datuk Bandar Liverpool menggesa siasatan mengapa pertembungan Liga Juara-Juara di antara Liverpool dan Atletico diteruskan di hadapan 52,000 penyokong bulan lalu.
Ketika La Liga bakal dilangsungkan dalam stadium kosong, hampir 3,000 penyokong lawan dari Sepanyol dibenarkan berkunjung ke Anfield menyaksikan perlawanan pada 11 Mac.
Beberapa hari selepas itu, Sepanyol melaksanakan perintah berkurung dan pengharaman perhimpunan besar termasuk semua acara sukan.
Madrid salah satu bandar paling terjejas angkara koronavirus di Eropah dan Datuk Bandar ibukota Sepanyol, Jose Luis Martinez-Almeida berkata, satu ‘kesilapan’ meneruskan perlawanan itu.
“Jika orang ramai dijangkiti Covid-19 menerusi acara sukan yang sepatutnya tidak berlaku, ia amat tidak bertanggungjawab,” kata Steve Rotheram, Datuk Bandar Liverpool City Region kepada BBC.
“Siasatan perlu dijalankan bagi mengenal pasti sama ada mereka dijangkiti angkara penyokong Atletico. Terdapat beberapa bandar yang teruk dan Madrid salah satu daripadanya.
“Mereka tidak dibenarkan berkumpul di negara mereka tetapi 3,000 penyokong datang ke sini dan berpotensi menyebarkan wabak itu.”
Kerajaan Britain pula menegaskan mereka mematuhi garis panduan saintifik ketika membenarkan perlawanan itu dan acara sukan lain seperti festival lumba kuda Cheltenham yang berlangsung pada minggu sama.
Bagaimanapun, timbalan ketua penasihat saintifik kerajaan Britain, Angela McLean berkata jangkitan di Liverpool selepas perlawanan dengan Atletico adalah ‘hipotesis menarik.’
Atletico menang 3-2 selepas tambahan masa sekali gus menyingkirkan juara bertahan 4-2 secara agregat untuk mara ke suku akhir.