SEORANG ahli politik Perancis meramalkan nilai perpindahan Kylian Mbappe akan jatuh kepada hanya £35 juta (RM191 juta) akibat kesan pandemik Covid-19 kepada pasaran pemain.

Wabak Covid-19 menyaksikan aksi bola sepak serta sukan di seluruh dunia dibatalkan atau ditangguhkan.

Krisis ekonomi dunia juga memberi kesan kepada pasaran perpindahan pemain dengan pasukan dijangka akan menjual pemain bintang mereka dengan nilai murah.

Seorang anggota parlimen Eropah, Daniel Cohn-Bendit mendakwa nilai semasa Mbappe yang dianggarkan sekitar £189 juta (RM1.03 bilion) akan berkurangan sehingga £150 juta (RM819 juta).

“Esok, Mbappe hanya akan bernilai £35 juta (RM191 juta) saja. Siapa akan membelinya?

“Akan ada peraturan dan anda perlu membuat penelitian lebih jauh daripada had gajinya.

“Ia penstrukturan semula yang bukan sahaja akan memberi kesan kepada pendapatan pemain, tetapi juga imej mereka,” katanya.

Terdapat laporan menyatakan pasaran perpindahan pemain akan jatuh dan tiada yang berani menawarkan harga tinggi dengan kelab tidak dapat menjana pendapatan susulan Covid-19.

Kelab gergasi mempunyai simpanan mencukupi untuk mengharungi tempoh sukar tetapi mereka dijangka akan mengurangkan perbelanjaan pada musim panas.