TOTTENHAM Hotspur mengingatkan pemain mereka mengenai tanggungjawab mengikut undang-undang perintah berkurung Britain berikutan Covid-19 apabila gambar dan video mereka terpampang di sosial media mengingkari peraturan berkenaan.

Pengurusnya, Jose Mourinho dan beberapa lagi pemain skuad berkenaan di lihat menunjukkan contoh tidak baik mengenai peraturan jarak sosial.

Pengendali kelahiran Portugal itu dirakam bersama Tanguy Ndombele dalam satu sesi latihan di Hadley Common, manakala Davinson Sanchez dan Ryan Sessegnon pula dilihat berjoging rapat antara satu sama lain di taman awam di utara London itu.

Pertahanan tengah, Serge Aurier juga memuatnaik video dia berjoging bersama seorang lagi pemain di laman sosial, Instagram.

Saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) ditangguhkan sejak pertengahan Mac berikutan penularan wabak Covid-19.

Pandemik berkenaan menyaksikan kerajaan Britain memperkenalkan peraturan ketat, namun masih membenarkan individu untuk keluar berjalan atau bersenam sehari sekali denga syarat mesti menjaga jarak sosial dua meter antara satu sama lain kecuali yang tinggal serumah.

“Semua pemain kami sudah diingatkan untuk mematuhi jarak sosial ketika melakukan latihan di luar. Kami akan terus mengingatkan mereka mengenai peraturan yang sudah ditetapkan,” kata jurucakap kelab berkenaan.

Tottenham sebelum ini sudah dikritik kerana mengambil skim pengekalan pekerjaan kakitangan bukan pemain minggu lalu namun pada hari sama pengerusi Spurs, Daniel Levy mendedahkan beliau menerima bayaran tujuh juta pound (RM37 juta) musim lalu.

Walaupun Levy adalah di antara staf Spurs yang dikenakan potongan gaji 20 peratus, kelab utara London itu berada dalam tekanan untuk mengikut jejak juara Liga Juara-Juara dan pendahulu EPL, Liverpool.

Liverpool melakukan pusingan U tidak mengambil skim berkenaan yang dikatakan menggunakan duit rakyat untuk membayar gaji pekerja.