FLOYD Mayweather yang bersara pada 2017 dengan rekod sempurna 50-0 berkata, dia mahu mengikut jejak langkah mendiang bapa saudaranya, Roger menjadi seorang jurulatih berjaya.
Mayweather memuatnaik video di Instagram miliknya bersama anak saudara lelakinya berusia 14 tahun.
“Saya agak baru dalam bidang kejurulatihan dan setakat ini saya bekerjasama dengan mereka yang tidak mempunyai pengalaman dalam sukan tinju. Jadi kami sama-sama belajar.
“Tapi saya berjanji akan menjadi salah seorang jurulatih terbaik di dunia,” katanya.
Roger Mayweather yang meninggal dunia bulan lalu pada usia 59 tahun, adalah jurulatih Floyd hampir sepanjang kariernya yang tidak pernah tewas. Bapanya juga turut melatihnya.
“Berikutan pemergian bapa saudara saya Roger, saya begitu bersemangat membantu orang sekeliling sepertimana saya melalui karier sebagai petinju,” katanya.
Pandemik Covid-19 menyaksikan Mayweather turut mengasingkan dirinya dan memberi ruang kepadanya untuk memikirkan masa depannya dalam sukan tinju.
“Ketika kita mengharungi tempoh sukar ini, ia membuatkan saya terfikir bagaimana saya mahu mengubah kehidupan orang ramai dan membantu mereka mencapai sasaran,” katanya.