PENYERANG Real Madrid, Karim Benzema memberi bayangan dia akan mengakhiri karier di Lyon tetapi tidak bercadang kembali ke kelab lamanya dalam masa terdekat.

Benzema berpindah ke Madrid dari Lyon pada 2009 dengan harga €35 juta (RM166 juta) dan menjaringkan 241 gol daripada 501 penampilan dalam semua kejohanan bersama Los Blancos.

Laporan beberapa bulan kebelakangan ini menyebut pemain berusia 32 tahun itu bersetuju melanjutkan kontrak di Santiago Bernabeu sehingga Jun 2022 walaupun belum ada pengumuman rasmi mengenai perjanjian itu.

Benzema tampil kali pertama bersama skuad senior Lyon pada kempen Ligue 1 2004-05 dan memainkan peranan penting ketika kelab mencipta sejarah menjulang trofi tujuh kali berturut-turut.

Dia tanpa ragu-ragu menyatakan komitmen masa depan bersama Lyon sama ada sebagai pemain atau staf kejurulatihan.

“Pulang semula ke Lyon? Selalu diperkatakan kepada saya. Orang tahu betapa saya merindui Lyon,” katanya kepada saluran YouTube rasmi kelab Perancis itu semalam.

“Bagaimanapun, kembali ke Lyon dalam masa terdekat tidak mungkin kerana saya sekarang berada di kelab terbaik dunia dan banyak lagi perlu saya selesaikan di sini. Tetapi pulang ke Lyon dan bersara, mengapa tidak?

“Apapun, saya akan kembali ke Lyon sama ada sebagai pemain atau tidak.”

Ketika ditanya tiga pemain terbaik pernah disainginya, Benzema berkata: “Tiga pemain terbaik pernah saya bermain dengannya? Ia sukar kerana ramai.

“Di Perancis, saya gembira beraksi di sisi dengan Juninho [Pernambucano] and [Sylvain] Wiltord tetapi di Madrid, ramai pemain bagus. Cristiano Ronaldo, [Sergio] Ramos…

“Sukar untuk dipilih tetapi saya berpeluang beraksi dengan ramai pemain hebat.”