KELONGGARAN atau kelompongan yang terkandung dalam kontrak pemain Liga Malaysia (Liga-M) menyaksikan hasrat pasukan dan kelab untuk memotong atau menstruktur semula gaji pemain tidak boleh dilakukan biarpun ketika ini negara sedang berdepan dengan isu Covid-19.

Hasil siasatan dan tinjauan Arena Metro, mendapati kesemua kontrak pemain Liga-M tiada klausa ‘Force Majeure’ atau dalam bahasa mudahnya, perkara-perkara berkaitan bencana di luar kawalan manusia, membolehkan majikan diberi sumber kuasa untuk tidak membayar gaji pemain sepanjang tempoh musibah itu.

Menurut peguam undang-undang sukan, Zhafri Aminurashid, menerusi ‘templete’ kontrak pemain yang dikeluarkan oleh Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) kepada semua pasukan Liga-M, tidak meletakkan klausa ‘Force Majeure’ berbanding kontrak-kontrak di Eropah.

Katanya, apabila tiadanya klausa itu, majikan tidak boleh memotong atau menstruktur gaji pemain sewenang-wenangnya tanpa mendapatkan persetujuan pemain.

Jelasnya, disebabkan itu FAM dan Liga Bolasepak Malaysia (MFL) meminta pasukan dan pemain agar duduk berbincang bagi menyelesaikan isu ini secara bersama.

“Bila tak ada (Force Majeure) dalam ‘templete’ kontrak pemain-pemain, bahasa mudahnya persatuan atau kelab tak boleh mengubah tanpa persetujuan pemain.

“Saya ada tengok di England (kontrak pemain Liga Perdana Inggeris), memang ada klausa ‘Force Majeure’ di dalam kontrak, kiranya kalau ada peperangan atau sebagainya, kelab boleh tidak membayar gaji dan sebagainya.

“Tapi dekat FAM punya kontrak, klausa itu tak ada. Sebab itu FAM ada bagi nasihat kepada persatuan untuk berbincang dengan pemain sebab tahu mereka (pasukan Liga-M) tak ada sumber kuasa untuk berhenti daripada membayar gaji pemain,” katanya ketika dihubungi Arena Metro, hari ini.

Sebelum ini, FAM dan MFL meminta semua pasukan dan pemain duduk berbincang bagi mencari jalan terbaik untuk mengatasi masalah kewangan pasukan yang tidak mampu membayar gaji pemain susulan penundaan liga ekoran wabak Covid-19.

Malah, penangguhan itu adalah selari dengan arahan kerajaan yang menguatkuasakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) kepada semua rakyat Malaysia sekali gus aktiviti sukan turut terkena tempiasnya.

Penangguhan Liga-M yang bermula 16 Mac lalu akan berterusan selama sebulan hingga 14 April ini yang secara tidak langsung memberi kesan kepada kewangan pasukan apabila tidak mampu menjana pendapatan melalui jualan tiket ekoran penguatkuasaan PKP.