PENGENDALI Perak II, Abu Bakar Fadzim mengakui jentera serangan pasukannya kurang menyengat dalam empat perlawanan Liga Perdana musim ini.
Abu Bakar berkata, perjalanan musim ini turut mencabar namun mengakui prestasi pasukannya dilihat sudah mula meningkat.
Menurutnya, dia juga percaya pasukannya akan lebih mantap dengan kehadiran pemain dari Korea Selatan yang setakat ini belum mendapat ‘lampu hijau’ untuk didaftarkan.
“Kita harap pemain juga faham apa yang mereka perlu perbaiki dari segi ‘scoring’ dan pertahanan, kita perlu seimbang kerana setakat ini jentera serangan nampak kurang sengat di bahagian hadapan.
“Saya rasa dengan kehadiran pemain Korea (selepas mendapat kelulusan), Insya Allah dapat membantu pasukan,” katanya.
Bekas pemain Perak itu juga terus positif untuk membaiki kedudukan pasukannya yang kini berada di tangga tercorot liga dengan merangka strategi bagi mengembalikan momentum dan berada di kelompok 10 terbaik apabila saingan bermula nanti.
“Belum panik lagi, kami masih ada 18 lagi perlawanan (bagaimanapun) tidak tahu status (sama ada Liga Malaysia diteruskan atau batal). Kami juga (mempunyai sasaran) ingin berada dalam Top 10,” katanya.
Menurut Abu Bakar, dia juga berharap pemain pasukannya yang kini melakukan latihan di rumah terus mengekalkan kecergasan dan kesihatan di tahap terbaik.
“Memang ada ‘homework’ untuk pemain supaya mereka boleh berlatih di rumah sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini.
“Pemain juga perlu menjaga kesihatan dan kecergasan diri kerana apabila liga bermula nanti mereka sudah bersedia menjalani latihan,” katanya.
Perak II kini berada di tangga ke-12 liga dengan mengutip satu mata selepas tewas tiga perlawanan dan satu seri sebelum liga ditangguhkan.