JAGUH Sukan Olimpik, Michael Phelps menyuarakan kebimbingan mengenai impak negatif berkenaan kesihatan mental atlet selepas Sukan Olimpik Tokyo ditangguhkan akibat pandemik Covid-19.
Bulan lalu Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC) memutuskan menangguhkan temasya berkenaan selama setahun ketika seluruh dunia diancam wabak Covid-19 sehingga menjejaskan kalendar sukan antarabangsa.
“Anda akan melalui perkara yang berlaku empat tahun sekali dan kita sentiasa tahu bila serta bagaimana tubuh badan kita sudah bersedia. Bagaimanapun, sekarang mereka perlu tunggu lagi,” kata bekas perenang Amerika Syarikat itu yang meraih 28 pingat Olimpik.
Beliau yang berusia 34 tahun menggesa atlet supaya menggunakan masa terluang ini utuk terus mengasah kemahiran mereka.
Phelps menambah beliau sangat simpati kepada atlet di atas penangguhan itu, di mana tarikh baru temasya berkenaan akan diadakan 23 Julai hingga 8 Ogos 2021.
Beliau berkata, paling penting sekarang ini ialah semua atlet sentiasa mengambil berat mengenai kesihatan mental.
Kerisauan Phelps timbul seleas rakan senegara dan juga juara Olimpik empat kali dalam acara gimnastik, Simone Biles menangis selepas mendengar berita penangguhan temasya itu.
“Ini adalah kehidupan kami. Saya cuba untuk membayangkan saya masih aktif sudah tentu saat ini penuh emosi, sukar untuk digambarkan,” kata Phelps.