KEHILANGAN RM2.9 juta membabitkan hasil jualan tiket dan pembayaran wang penajaan memaksa Persatuan Bolasepak Selangor (FAS) menstruktur semula tangga gaji pemain dan pegawai pasukan dengan pemotongan gaji terpaksa dilakukan bermula pada Mei hingga November ini.
Meskipun terdapat anggota pasukan yang tidak bersetuju, namun sebahagian besar hampir 60 peratus (%) menyatakan persetujuan bagi pengurusan melaksanakan pemotongan itu.
Setiausaha Agung FAS, Dr Johan Kamal Hamidon berkata, beberapa siri perjumpaan sudah dijalankan dengan penerangan terperinci mengenai kedudukan kewangan pasukan diperjelaskan kepada semua pemain, pegawai dan kakitangan sokongan FAS.
Katanya, pemotongan dari Mei hingga November itu bukan bertujuan untuk menganiaya mana-mana pihak sebaliknya ia diambil selepas mengkaji pelbagai sudut dan impak yang bakal diterima susulan pandemik Covid-19.
“Kita membuat penelitian dan kajian cukup terperinci sebelum memutuskan pemotongan gaji itu. Disebabkan ketiadaan jualan tiket serta paling utama, permintaan beberapa penaja yang meminta penangguhan pembayaran memberi kesan langsung kepada kewangan pasukan.
“Kita akan kehilangan sehingga RM2.9 juta ekoran dua perkara itu dan kita terpaksa mengambil langkah untuk membuat penjimatan.
“Memang ada yang tak setuju tapi ia hanya 40 peratus saja dengan selebihnya termasuk kakitangan setuju dengan pemotongan itu.
“Tapi kita dah maklumkan kepada pemain bahawa sekiranya PKP (Perintah Kawalan Pergerakan) tamat dan MFL (Liga Bolasepak Malaysia) membenarkan jualan tiket dan terdapat penaja korporat yang dapat meneruskan komitmen, kita akan bagi balik dana yang dikumpulkan kepada pemain,” katanya.
Tambahnya, FAS sentiasa menitik beratkan kebajikan pemain dan tidak pernah mahu menyusahkan pemain.
Malah, sebelum keputusan berkenaan diambil, FAS sudah melakukan kaji selidik untuk mengenalpasti komitmen kewangan bulanan semua pemain dan pegawai supaya ia tidak membebankan.
“Potongan gaji adalah berdasarkan tangga gaji dan status perkahwinan mereka iaitu di antara 3% – 33%. Dari jumlah itu, hanya 5% jumlah tenaga kerja yang menerima potongan 25% ke atas.
“Manakala, kakitangan yang menerima RM1200 tidak dipotong kerana ia adalah gaji minima yang ditetapkan Kerajaan. Secara keseluruhan, purata potongan gaji semua kakitangan adalah sebanyak 10%.
“Justeru, dengan krisis Covid-19 yang sedang melanda negara ketika ini, ia menyebabkan banyak penaja-penaja juga berdepan masalah. Tapi seperti saya kata tadi, kita komited untuk memulangkan semula jika jualan tiket dapat dibuat dan penaja korporat dapat membayar wang penajaan kepada FAS,” katanya.
Pemotongan gaji bermula pertengahan musim ini sehingga hujung tahun nyata tidak dipersetujui pemain-pemain Selangor yang menganggap ia keterlaluan.
Menurut sumber terdekat pasukan, tawaran pemotongan gaji sememangnya disambut baik pemain yang menyedari ia adalah langkah terbaik dalam membantu kantung kewangan pasukan.
Malah, ketiadaan aksi Liga-M yang ditangguh pada 16 Mac lalu ekoran Covid-19 juga difahami oleh pemain namun keputusan pengurusan untuk memotong sehingga hujung musim tidak dipersetujui pemain.