SEKURANG-kurangnya enam kejohanan ragbi antarabangsa yang membabitkan penyertaan skuad kebangsaan tahun ini terpaksa ditangguh atau dibatalkan susulan wabak pandemik Covid-19.

Setiausaha Agung Kesatuan Ragbi Malaysia (KRM), Amrul Hazarin Hamidon berkata, kejohanan itu membabitkan peringkat Asia, kebangsaan dan kelab antarabangsa.

Katanya, antara kejohanan itu termasuk Global Rapid Rugby (GRR), Kejohanan Ragbi Asia 2020, Kejohanan Ragbi 7s Kebangsaan 2020, Kejohanan Ragbi 7s Asia Bawah 20 Tahun 2020 dan Kejohanan Ragbi Borneo 7s 2020 serta Liga Ragbi Kebangsaan 2020.

“Sebahagian kejohanan berlangsung di negara ini dan timbal balik dengan negara lain yang bertanding.

“Selain itu, terdapat tujuh lagi kejohanan peringkat domestik termasuk membabitkan kejohanan peringkat sekolah turut ditangguh dan ada yang dibatalkan.

“Sebahagian daripada kejohanan itu sepatutnya berlangsung pada Mac dan April manakala sebahagian yang lain pula pada Mei sehingga September depan.

“Kami akur dengan keadaan pandemik Covid-19 ini dan tidak dibenarkan pemain menjalani latihan atau kejohanan berkumpulan dalam usaha menyekat rantaian penularan wabak berkenaan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Amrul Hazarin berkata, KRM akan menyusun semula senarai kejohanan berkenaan selepas keadaan negara kembali pulih daripada wabak ini.

Menurutnya, pihaknya tidak dapat memastikan kejohanan mana yang boleh diteruskan kerana ia akan bergantung kepada kebenaran daripada pihak berkuasa khususnya kerajaan dan Kementerian Belia dan Sukan.

“Kita akan melihat perkembangan selanjutnya dan keputusan atau kebenaran diberikanoleh pihak berkuasa,” katanya.

Katanya, sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini, pemain ragbi negara berlatih secara sendirian di kediaman masing-masing sebagai langkah memastikan tahap kecergasan terbaik dapat dikekalkan.