KEVIN De Bruyne berjanji untuk melanjutkan karier kepada dua tahun lagi ketika saingan bola sepak dunia sepi berikutan wabak Covid-19.

Tonggak City itu terpaksa memikirkan semula perancangan untuk bersara selepas seluruh aksi bola sepak Eropah ditangguhkan.

Perancang tengah Belgium berusia 28 tahun itu, mengambil keputusan untuk beraksi seperti dirancang selepas berbincang mengenai masa depan kariernya bersama isterinya, Michele.

Dia disisihkan dalam tempoh yang panjang musim lalu berikutan mengalami kecederaan lutut serius dan kini menempuhi krisis Covid-19 yang menyebabkan dia merindui aksi di padang sekali lagi.

Liga Perdana Inggeris ketika ini ditangguhkan sehingga 30 April, jadi pemain berusia 28 tahun itu terpaksa mengharungi perintah kawalan pergerakan bersama keluarganya di rumah mereka di Manchester.

Warga Belgium itu mengakui penangguhan aksi bola sepak benar-benar menyebabkan dia kecewa tapi terpaksa akur dengan krisis besar yang sangat dibimbangkan ramai pihak di seluruh dunia ketika ini.

Menerusi Instagram, De Bruyne berkata : “Saya memberitahu isteri, saya akan bermain lebih lama.

“Selepas kawalan pergerakan ini, saya tidak boleh tinggal di rumah. Saya memberitahu dia bahawa saya akan mengambil tempoh dua tahun lagi untuk bermain.

“Ini masanya bermain bola sepak lagi. Saya merinduinya dan ia sukar dalam tempoh getir ini, bola sepak amat penting. Orang ramai menyukai bola sepak, namun anda perlu menjaga keselamatan.”

De Bruyne sekali lagi beraksi cemerlang musim ini selepas terpinggir hampir keseluruhan musim lalu akibat kecederaan.

Dia meledak lapan gol dan membantu menghasilkan jaringan sebanyak 16 kali dalam saingan Liga Perdana musim ini.

Selain meraih lapan trofi utama bersama City termasuk membantu kejayaan memenangi Piala Liga (Carabao) berdepan Aston Villa pada Februari lalu.

Tonggak City itu memainkan peranan utama dalam skuad kendalian Pep Guardiola untuk layak ke saingan kalah mati Liga Juara-Juara dan suku akhir Piala FA.

Termasuk yang paling diingati menerusi kualiti permainan ditunjukkan ketika mencatat kemenangan pada perlawanan pertama saingan 16 terakhir ke atas Real Madrid.

Malah dia meletakkan dirinya untuk layak menandingi Cristiano Ronaldo dan Lionel Messi bagi anugerah Ballon d’Or.