CHELSEA ‘membuat tawaran’ untuk Neymar, ia disahkan oleh salah seorang ejen pemain itu tapi gergasi Liga Perdana Inggeris itu gagal untuk memujuk pemain itu untuk melengkapkan perpindahan.

Bintang Brazil itu menarik perhatian seluruh Eropah setiap minggu ketika beraksi untuk Santos di negara kelahirannya.

Chelsea membuat bidaan ketika Neymar membuat kemunculan pertama bersama skuad senior pasukan kebangsaan Brazil – 10 Ogos 2010 – untuk bersaingan dengan tawaran daripada pihak lain.

“Banyak panggilan untuknya,” kata Wagner Ribiero kepada penerbitan Sepanyol, AS.

“Saya menerima tawaran rasmi daripada Chelsea di hari Neymar melakukan penampilan pertama bersama skuad Brazil pada 2010.

“Mereka membuat tawaran, kami mengkajinya, tapi pada penghujungnya kami tidak ambil apa-apa keputusan.

“Pada masa sama, kami serahkan keputusan berkenaan kepada penilaian ayah Neymar dan pemain itu sendiri.

“Kemudian hadir tawaran lain daripada Bayern Munich dan Juventus, di mana saya menghadiri mesyuarat dengan wakil kelab berkenaan di Turin.”

Neymar terpaksa menunggu tiga tahun lagi sebelum melakukan perpindahan yang dinanti-nantikan ke Eropah selepas Barcelona meletakkan antara nilai tertinggi sekitar 57 juta Euro (RM269.3 juta) bagi pemain berusia 21 tahun itu yang kini bersama PSG.